LAMBAKAN sisa pembinaan berisiko menyebabkan kesihatan manusia dan alam sekitar terancam.
LAMBAKAN sisa pembinaan berisiko menyebabkan kesihatan manusia dan alam sekitar terancam.
Hafiz Ithnin


Industri pembinaan negara sentiasa berkembang dari tahun ke tahun. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), pada 2022 sahaja, sejumlah 12,897 projek sudah dibangunkan berbanding 7,998 projek pada 2012.

Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan industri pembinaan mencatatkan 4.5 peratus pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini.

Seiring dengan perkembangan itu, industri pembinaan juga tidak lekang dengan isu alam sekitar terutama membabitkan sistem pengurusan sisa binaan yang mampu memberi kesan negatif kepada manusia, alam sekitar dan ekonomi jika tidak diuruskan secara lestari.

Menerusi perkongsian data Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) kepada penulis, pada tahun lalu SWCorp melupuskan sisa binaan di tapak pelupusan keseluruhan sebanyak 155,360.82 tan berbanding 151,819.40 tan pada 2021.

Pensyarah Kanan, Fakulti Reka Bentuk dan Seni Bina Universiti Putra Malaysia (UPM), LAr Mohd Nazri Saidon berkata, industri pembinaan menghasilkan sejumlah besar bahan buangan iaitu kira-kira empat kali ganda daripada yang dihasilkan di rumah dan lebih 50 peratus dibuang di tapak pelupusan.

Jelasnya, dianggarkan 10 hingga 30 peratus sisa buangan terdiri daripada sisa pembinaan termasuk kerja-kerja ubah suai dan merobohkan bangunan sedia ada.

"Lambakan sisa pembinaan berisiko menyebabkan kesihatan manusia dan alam sekitar terancam. Apatah lagi, konsep buang terus menjadi budaya dan inisiatif untuk kitar atau guna semula sisa pembinaan kurang dipraktikkan di Malaysia.

"Jika perkara ini berterusan dan tiada langkah lestari dilaksanakan oleh industri pembinaan dalam isu ini sudah semestinya boleh memberi kesan negatif bukan sahaja kepada alam sekitar malah lebih dibimbangkan menjejaskan kesihatan manusia," katanya.

Tambahnya, memetik kajian oleh Bachok pada 2020 mengenai isu pelupusan sisa tanpa di Sabak, Kelantan mendapati penduduk yang menghuni kurang satu kilometer dari tapak pelupusan mengalami risiko kemerosotan kesihatan seperti tekanan darah tinggi, kencing manis dan sakit tekak.

"Selain itu, mereka juga mendapati sekumpulan pemungut hasil sisa buangan akan cenderung mengalami masalah kesihatan seperti 75 peratus mengalami gejala sistem pernafasan kronik seperti batuk, kahak dan sesak nafas.

"Manakala, 70.3 peratus mengalami gejala dermatologi berkaitan kulit seperti kegatalan dan ruam dan 65.5 peratus mengalami gejala gastrousus berkaitan pencernaan seperti cirit birit dan loya," katanya.

Katanya, kajian juga mendapati hampir 26 peratus tapak pelupusan dipenuhi sisa binaan. Malah terdapat sekitar 289 tapak pelupusan di seluruh Malaysia.

Jumlah ini semakin meningkat dan menyumbang kepada kadar pencemaran yang lebih tinggi jika tidak diuruskan dengan sempurna.

"Pengurusan yang tidak sistematik boleh memberi kesan kepada persekitaran yang tidak seimbang seperti ketidakseimbangan ekologi, potensi menjadi kawasan pelupusan haram yang baharu dan memerlukan kos yang tinggi untuk kerja-kerja pembersihan," katanya.

Menyedari kepada kesan negatif sekiranya sisa binaan tidak diuruskan dengan baik dan lestari, sebagai lembaga yang menggalakkan jaminan kualiti dalam industri binaan di Malaysia, CIDB melaksanakan beberapa inisiatif bagi mengekang isu berkenaan.

Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Datuk Ir Ahmad 'Asri Abdul Hamid berkata, CIDB bersama SWCorp membangunkan perisian Sistem Pengurusan Sisa Pembinaan (CWMS) 2.0 iaitu satu sistem pelaporan secara dalam talian di Portal SWCorp.

Jelasnya, CWMS dibangunkan pada awal 2018 untuk diguna pakai SWCorp bagi pengumpulan data penjanaan sisa binaan daripada kontraktor.

Kini sistem berkenaan ditambah baik dengan meluaskan sumber pengumpulan data daripada pemungut sisa binaan dalam CWMS 2.0 yang diguna pakai sejak Mac 2023.

"CIDB bekerjasama dengan SWCorp pada 2017 bagi membangunkan kadar kitar semula sisa binaan dan pembangunan sistem pengumpulan data sisa binaan," katanya.

Jelasnya, program ini dilaksanakan di bawah Teras ke 2 Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) 2016 hingga 2020 di mana kadar kitar semula perlu dikenal pasti bagi melihat kesediaan industri dalam kitar semula.

"CWMS ini pula dibangunkan bagi membantu SWCorp dalam pengumpulan maklumat sisa binaan selaku agensi yang bertanggungjawab mengawal selia sisa pepejal termasuk sisa binaan," katanya.

Jelasnya, sisa binaan yang tidak diuruskan bakal mengakibatkan beban sisa kepada awam. Selain itu, menjadi penyebab bagi kerosakan alam sekitar kerana sisa buangan binaan diklasifikasikan sebagai bahan buangan berjadual di bawah Akta 672 Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.

"CIDB berpendapat pemain industri perlu melaporkan sisa buangan pepejal pembinaan menggunakan sistem CWMS.

"Pemain Industri juga perlu memainkan peranan mengurangkan jumlah sisa pepejal binaan yang dimasukkan di dalam pusat pelupusan kerana ia boleh membebankan alam sekitar dan juga menghasilkan penggunaan karbon tinggi semasa proses pengangkutan ke pusat pelupusan," katanya.

Katanya, pemain industri perlu mengamalkan ekonomi kitaran dengan menggunakan semula sisa berkenaan menjadi bahan binaan struktur tidak kritikal. Contohnya blok batu pejalan kaki, blok batu hiasan dan sebagainya.

"Bahan buangan berkenaan tidak boleh diguna semula bagi binaan sekiranya ia membabitkan struktur. Keperluan pengurusan sisa pepejal binaan adalah termaktub di dalam Akta 672 dan terpakai di negeri-negeri yang menerima pakai akta berkenaan," katanya.

Jelasnya, selain itu Sistem Binaan Berindustri (IBS) adalah satu kaedah lagi mengurangkan sisa binaan.

"Penggunaan kaedah pembinaan moden seperti IBS dan pembinaan modular lebih mesra alam sekitar kerana ia mengurangkan sisa pembinaan. Komponen pembinaan IBS dan modular ini diperbuat di dalam kilang sebelum ia dipasang di tapak pembinaan.

"Perkara ini bermakna, lebihan bahan binaan boleh digunakan untuk mengeluarkan komponen-komponen seterusnya. Hal ini mengurangkan pembaziran dan lambakan sisa pepejal pembinaan," katanya.

Ahmad 'Asri menambah, tidak sekadar itu, CIDB mempromosikan penilaian Hijau MyCREST untuk bangunan dan Sustainable INFRASTAR bagi infrastruktur termasuk antaranya jalan, rel, jambatan dan pelabuhan.

"Kriteria penilaian juga termasuk pelupusan dan penggunaan semula sisa binaan, pengiraan penggunaan karbon dan pengurusan sosial dan tadbir urus pada peringkat perancangan dan pembinaan selain peringkat operasi dan penyelenggaraan.

"Kedua-dua penilaian ini adalah diberikan secara bersubsidi penuh kepada projek-projek yang dibiayai penuh oleh kerajaan.

"Sesebuah projek yang mendapat markah penilaian lima bintang MyCREST atau Sustainable INFRASTAR menunjukkan kemampanan dan kelestarian projek ke atas alam sekitar, flora dan fauna, inovasi, keprihatinan sosial dan pematuhan tadbir urus," katanya.

MyCREST diperkenalkan pada 2016 manakala, Sustainable INFRASTAR diperkenalkan pada 2019 mengetengahkan kriteria penilaian berkaitan pengurusan dan pengurangan penjanaan sisa pepejal seperti penggunaan IBS, pengasingan sisa binaan di tapak serta galakkan pengurangan, guna semula dan kitar semula bahan binaan.

Tambahnya, sebanyak lima peratus daripada pemarkahan MyCREST dan 12.6 peratus pemarkahan Sustainable INFRASTAR berkaitan kriteria pengurangan dan pengurusan sisa binaan.

"Sejak diperkenalkan MyCREST sudah menilai 43 projek dan Sustainable INFRASTAR yang diperkenalkan pada 2019 telah menilai tujuh projek," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2023 @ 7:00 AM