ANGGOTA penguatkuasa SWCorp membuat pemeriksaan dan menyerahkan notis kepada wakil pemilik tanah yang dijadikan tempat pembuangan sisa pepejal terkawal secara haram. FOTO Ihsan SWCorp
ANGGOTA penguatkuasa SWCorp membuat pemeriksaan dan menyerahkan notis kepada wakil pemilik tanah yang dijadikan tempat pembuangan sisa pepejal terkawal secara haram. FOTO Ihsan SWCorp
Omar Ahmad

Johor Bahru: Pemilik tapak pelupusan sisa pepejal terkawal di Senai di sini, yang beroperasi secara haram diarahkan melakukan pembersihan dalam tempoh tiga bulan.

Arahan susulan notis dikeluarkan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Johor kepada pemilik tanah pada 14 Jun lalu.

Pengarahnya, Cairul Hisham Jalaluddin berkata, notis itu dikeluarkan kepada wakil pemilik tanah yang turut berada di lokasi ketika anggota penguat kuasa SWCorp membuat pemeriksaan ke atas tapak pelupusan haram itu.

Katanya, SWCorp menerima aduan dari Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 13 Jun lalu dan mengarahkan anggota penguat kuasa SWCorp Cawangan Kulai ke lokasi sehari kemudian.

"Hasil siasatan mendapati lokasi terbabit dijadikan tempat pembuangan sisa pepejal terkawal secara haram.

"Notis bawah Seksyen 75 (1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) diserahkan kepada wakil pemilik tanah. Pematuhan arahan pembersihan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh notis dikeluarkan" katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Cairul Hisham, tapak pelupusan sampah yang sah di Kulai hanya di Seelong.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 14 (1) akta sama.

Semalam, JAS Negeri Johor menafikan kewujudan tapak pelupusan buangan terjadual di Senai.

Hasil pemeriksaan menyeluruh kawasan tanah lapang berkenaan mendapati ada longgokan plastik hasil kegunaan industri di beberapa tempat termasuk sisa plastik, kayu palet dan kertas gulung,

Terdahulu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memuat naik di laman sosial rasmi beliau memaklumkan susulan daripada aduan awam, JAS dan polis memeriksa lokasi pelupusan buangan terjadual di Senai, Johor.

#kw JAS, Swcorp, notis, pelupusan, sisa, terjadual, Senai

Notis di bawah Seksyen 75 (1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), telah diserahkan kepada wakil pemilik tanah yang berada dilapangan semasa Anggota Penguatkuasa SWCorp membuat semakan ke atas aduan yang diterima berkaitan pembuangan sisa pepejal terkawal di Jalan Seelong Jaya 13, Kampung Seelong Jaya, Kulai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 4:52 PM