PENGUAT kuasa DBKL membuat pemeriksaan di sebuah tapak pembinaan. FOTO Ihsan DBKL
PENGUAT kuasa DBKL membuat pemeriksaan di sebuah tapak pembinaan. FOTO Ihsan DBKL
Nuratikah Athilya Hassan


Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup sebuah tapak pembinaan yang menjadi tempat pembiakan jentik-jentik dan mengenakan kompaun terhadap pemaju terbabit dalam satu operasi bersepadu, semalam.

DBKL dalam kenyataannya memaklumkan, tapak binaan yang terletak di Jalan Sentul Raya, Sentul ditutup kerana melanggar beberapa peraturan lain lagi.

"Pemaju tapak pembinaan itu mendirikan struktur tapak lori pembancuh sementara tanpa kelulusan DBKL dan dikompaun di bawah Seksyen 80 AJPB1974," katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Selain itu, DBKL berkata, pihak Bomba dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) turut mengeluarkan amaran lisan.

"Amaran terbabit dikeluarkan berdasarkan pematuhan sistem kebakaran lebih yang sempurna dan pematuhan pelupusan sisa pepejal mengikut Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007(Akta 672).

"Justeru, perintah penutupan tapak binaan dilaksanakan di bawah seksyen 8(3)(aa) APSPP 1975 pindaan 2000 mulai hari ini.

"Operasi disertai bersama PDRM, JBPM, SWCorp, CIDB dan jabatan-jabatan dalaman DBKL dengan kekuatan seramai 90 orang anggota," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2023 @ 4:36 PM