Sampah makin banyak.
Sampah makin banyak.
Oleh Muhammad Saufi HassanNor ‘Asyikin Mat Hayin dan Muhamaad Razis Ismail dan Nurul Husna Mahmud


Cyberjaya: Purata 8,547.76 tan sisa pepejal dikutip setiap hari oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Ismail Mokhtar berkata, sisa pepejal ini terdiri daripada sisa domestik iaitu sebanyak 7,198.30 tan, sisa pukal (903.61 tan) dan sisa pembersihan awam (438.84 tan).

Ismail berkata, semua sisa pepejal yang dikutip membabitkan Perlis, Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya.

"Janaan sisa pepejal isi rumah atau sisa domestik adalah sepanjang masa. Bagaimanapun, waktu kemuncak janaan sisa pepejal adalah ketika musim perayaan.

"Bagi kutipan sisa domestik, selain musim perayaan, peningkatan janaan sisa itu boleh dilihat pada hujung minggu sama ada Sabtu atau Ahad," katanya.

Menurut Ismail, sehingga tahun ini, pihaknya menggunakan 1,439 jentera kompaktor untuk mengutip sisa pepejal terbabit.

"Penggunaan jentera dalam kuantiti besar ini sangat membantu menjadikan operasi mengutip sampah lebih efisien.

"Kami melakukan operasi mengutip sampah setiap hari bermula jam 8 pagi hingga jam 5 petang. Semua sisa pepejal dihantar ke tapak pelupusan yang ditetapkan," katanya.

Ismail berkata, lokasi paling banyak menjana sisa pepejal ialah kawasan kediaman perumahan yang mempunyai kira-kira 2.5 juta premis di semua negeri berkenaan serta dua Wilayah Persekutuan itu.

"Premis perumahan menghasilkan sisa pepejal yang tinggi kerana mempunyai jumlah bilangan premis lebih banyak berbanding premis lain seperti pusat komersial, institusi dan sebagainya.

"Antara masalah yang sering dihadapi SWCorp dalam menguruskan operasi kutipan sisa pepejal di negara ini ialah tong sampah tidak diletak di luar rumah atau tidak digunakan dan disimpan oleh pemilik premis sehingga menyebabkan kutipan tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan," katanya.

Menurut beliau, selain itu, ada tong sampah yang disediakan rosak akibat daripada vandalisme dan kecurian komponennya seperti tayar serta besi pada bahagian tayar.

"Terakhir ialah, pembuangan sisa pukal dan sisa tanaman oleh isi rumah yang tidak mengikut jadual kutipan seminggu sekali.

"Ini menyebabkan persekitaran tidak bersih. Terdapat sisa dibuang di bahu jalan sehingga menyebabkan longgokan sampah," katanya.

Menurut Ismail, antara peranan yang boleh dilakukan masyarakat dalam menguruskan sisa pepejal di kediaman masing-masing ialah membudayakan amalan kitar semula.

"Melalui kitar semula, masyarakat bukan sahaja boleh mengurangkan penghasilan sisa pepejal, malah menjana pendapatan sampingan," katanya.

Tong sampah yang rosak.
Tong sampah yang rosak.

Urus sisa pepejal secara mesra alam

Penggunaan teknologi mesra alam menjadi keutamaan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dalam aktiviti perawatan dan pelupusan sisa pepejal di Malaysia.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Teknikal) SWCorp Ir Zulkifli Tamby Chik berkata, antara teknologi perawatan dan pelupusan sisa pepejal yang boleh digunakan ialah plasma pirolisis.

Menurut beliau, ia satu proses penguraian haba sisa pepejal pada suhu tinggi dengan proses pemanasannya adalah ringkas dan hasil rawatan pula berbentuk arang.

"Seterusnya ialah anaerobic digester (AD) iaitu satu siri proses biologi yang mana mikro organisma menguraikan bahan terbiodegradasikan (biodegradable) dalam ketiadaan oksigen.

"Salah satu produk akhirnya adalah biogas iaitu gas yang dibakar untuk menjana tenaga elektrik dan haba. Teknologi ini sesuai bagi perawatan sisa makanan.

"Teknologi perawatan terakhir ialah mesin kompos mekanikal untuk menguraikan bahan organik secara semulajadi kepada humus yang kaya dengan nutrien dikenali sebagai kompos," katanya.

Zulkifli berkata manakala teknologi pelupusan ialah tapak sisa lengai (inert landfill).

"Ia adalah loji untuk merawat sisa yang dihasilkan daripada aktiviti pembinaan, pengubahsuaian, penggalian tanah, pembinaan bangunan, pembersihan tapak, pembinaan jalan raya dengan pemisahan mekanikal atau manual untuk digunakan semula.

"Tapak pelupusan sisa pepejal sanitari adalah tempat pembuangan sampah yang dilengkapi sistem pengumpulan gas metana dan air larut resap, loji rawatan air larut resap serta penutupan liner," katanya.

Seterusnya ialah teknologi loji sisa ke tenaga (WTE) yang membabitkan proses menukarkan sisa tidak boleh dikitar semula ke dalam bentuk tenaga yang boleh digunakan termasuk haba, bahan api dan elektrik.

"WTE boleh berlaku melalui cara proses pembakaran, pengegasan dan pirolisis, pencernaan anaerobik serta pemulihan gas tapak pelupusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 1:00 PM