PENGURUSAN sisa pepejal yang teratur dapat mengelak pembuangan sisa haram dan pencemaran alam sekitar. - FOTO Arkib NSTP
PENGURUSAN sisa pepejal yang teratur dapat mengelak pembuangan sisa haram dan pencemaran alam sekitar. - FOTO Arkib NSTP
Hafiz Ithnin


Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mendedahkan sebanyak 69 kes pendakwaan yang membabitkan sisa pembinaan sejak 2019 sehingga tahun lalu.

Jumlah kes pendakwaan itu membabitkan syarikat pemungut sisa pembinaan dan individu yang melonggokkan sisa pembinaan secara haram.

SWCorp dalam satu kenyataan berkata, pemain industri sisa pembinaan atau mana-mana orang yang memiliki sisa pepejal pembinaan yang melanggar peraturan atau melakukan suatu kesalahan apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM10,000.

"Bagi pemain industri pembinaan di bawah negeri yang menerima pakai Akta 672, mereka perlu mematuhi Peraturan-peraturan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Pelesenan) (Pengusahaan atau Penyediaan Perkhidmatan Pemungutan Bagi Sisa Pepejal Pembinaan) 2018.

"[P.U.(A) 278/2018] dan Peraturan-peraturan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Skim Bagi Sisa Pepejal Pembinaan) 2018. Sebarang ketidak patuhan peraturan dan akta, pemain industri sisa pembinaan boleh disabitkan atau didenda sebagai mana di dalam yang terdapat di dalam peraturan," katanya.

SWCorp yang memaklumkan kepada penulis mengenai isu pengurusan sisa binaan turut berkata, pengurusan sisa pepejal yang teratur dan pematuhan terhadap peraturan yang dikuat kuasakan adalah bertujuan bagi mengelakkan pembuangan sisa haram dan pencemaran terhadap alam sekitar.

"Selain itu, pengurusan sisa pepejal pembinaan yang baik bukan hanya dapat memulihara alam sekitar tetapi juga dapat memberi keuntungan kepada pemain industri melalui amalan kitar semula dan meminimumkan penjanaan sisa pembinaan.

"Ia juga dapat meningkatkan budaya penggunaan semula dan kitar semula sebagai norma di tapak pembinaan selain dapat mengurangkan kebergantungan sepenuhnya pada sumber bahan mentah," katanya.

Tambahnya, bermula pada Januari 2020, data sisa binaan baru diasingkan di dalam rekod data tapak pelupusan. Terdapat peningkatan sisa binaan di tapak pelupusan daripada tahun 2021 sehingga tahun lalu selari dengan jumlah projek pembinaan yang meningkat daripada tahun 2022 berbanding tahun 2021.

"SWCorp juga mempunyai satu sistem bertujuan merekod data sisa binaan iaitu sistem Construction Waste Management System (CWMS). Sistem ini bertujuan bagi mendapatkan kadar janaan sisa pembinaan yang dihasilkan di tapak bina.

"Sistem ini diguna pakai syarikat kontraktor pembinaan bermula tahun 2018 dan selepas itu, sistem berkenaan ditambah baik dengan memasukkan modul bagi syarikat pemungut sisa pembinaan untuk pelaporan data di dalam sistem CWMS bermula Mac 2023," katanya.

Mengikut data dikongsikan SWCorp, jenis-jenis sisa pembinaan adalah seperti mana yang terdapat di dalam Jadual 2 (Peraturan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam) (Skim Bagi Sisa Pepejal Pembinaan) 2018.

"[P.U.(A) 279/2018] iaitu bahan berasaskan simen, batu baur, kaca, kayu, kertas, konkrit, logam dan plastik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2023 @ 6:45 AM