Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Pada masa ini, dunia diancam kesan pemanasan global dan perubahan iklim berikutan peningkatan pelepasan karbon dioksida dalam udara persekitaran.

Industri pembinaan antara penyumbang kepada lebih kurang 40 peratus daripada pelepasan karbon dengan sebahagian besarnya dikaitkan dengan penggunaan tenaga yang besar ketika fasa operasi dalam kitar hayat bangunan.

Menyedari situasi itu, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) memperkenalkan Malaysian Carbon Reduction and Environmental Sustainability Tool (MyCREST) sebagai kaedah pengukuran pelepasan karbon.

Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid berkata, MyCREST akan membimbing penggiat industri pembinaan dan pihak berkepentingan untuk mereka bentuk, membina dan mengendalikan bangunan yang mengintegrasikan karbon rendah dan amalan lestari.

“Bangunan yang dinilai dengan MyCREST akan diberi pensijilan berdasarkan mata dan pengurangan pelepasan karbon yang dikira di mana ia menetapkan penanda aras bagi industri ini serta membolehkan penilaian objektif yang akan dibuat tentang bagaimana kemapanan sesebuah bangunan,” katanya ketika ditemui pada Seminar Pemodelan Informasi Bangunan (BIM) dan MyCrest di sini, semalam.

MyCREST adalah gabungan antara JKR Penarafan Hijau (PH) dan CIDB GreenPASS iaitu inisiatif Kementerian Kerja Raya melalui JKR dan CIDB dilancarkan pada Mei 2016.

Ia dibangunkan dengan mengambil kira kitaran hayat bangunan keseluruhan bermula daripada prareka bentuk, pembinaan, penggunaan dan penyelenggaraan serta peringkat perobohan.

Beliau berkata, pelaksanaan MyCrest masih di peringkat awal di mana pihak CIDB ingin memberi fokus kepada kesedaran mengenai kepentingan terhadap keperluan MyCrest.

“Sehingga kini, enam projek pembinaan sudah mendapat sijil MyCrest dan tujuh projek awam di bawah kendalian JKR sudah mendaftar untuk diakses,” katanya.

Asri berkata, pihaknya ingin melihat keberkesanan kaedah terbabit sebelum memperluaskannya untuk setiap projek pembinaan pada masa akan datang.

Menurutnya, pihaknya mengalu-alukan penyertaan sukarela daripada penggiat industri di mana setakat ini, pihak Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia bersetuju untuk menggunakan MyCrest bagi 20 projek pembinaan mereka pada masa depan.

Beliau berkata, matlamat kewujudan MyCrest adalah untuk kegunaan semua pihak tanpa berasaskan keuntungan, sekali gus mewujudkan satu indeks pengukur terhadap kemapanan untuk diterapkan dalam industri pembinaan negara bagi tempoh jangka panjang.

“Program ini masih bersifat pilihan, tetapi pihak CIDB mengkaji apakah impak jika ia diwajibkan dan dikuatkuasakan pada masa akan datang. Promosi MyCREST akan dijalankan lebih kerap supaya penggiat industri pembinaan lebih peka terhadap keperluan kemampanan alam sekitar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2016 @ 5:05 AM