SKUAD kebangsaan melakukan persiapan rapi hadapi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
SKUAD kebangsaan melakukan persiapan rapi hadapi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Oleh Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Biarpun datang daripada latar belakang berbeza, skuad rojak Harimau Malaya terdiri daripada pemain kacukan, naturalisasi dan tempatan ketika ini boleh dikatakan antara terbaik dimiliki negara dalam tempoh lima tahun.

Malah, kehadiran beberapa pemain 'celup' baharu antaranya Liridon Krasniqi, Guilherme De Paula, Samuel Somerville dan terbaru Dion Cools turut meletakkan skuad Harimau Malaya pada tahap lebih tinggi untuk melangkah ke pusingan seterusnya pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Mengulas situasi berkenaan, jurulatih berpengalaman, Azraai Khor Abdullah berkata, memiliki tiga pemain naturalisasi dan tujuh bertaraf kacukan memberi kelebihan kepada pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe merencana strategi berhadapan lawan terutama mempunyai fizikal lebih besar.

Beliau berkata, Cheng Hoe boleh dikatakan memiliki barisan pemain yang mempunyai pakej lengkap sekali gus diletakkan harapan besar dalam meraih keputusan positif kelak.

"Barisan pemain yang boleh saya anggap antara terbaik setakat ini dan usaha membawa masuk lebih ramai pemain kacukan serta naturalisasi dalam skuad kebangsaan penting jika mahu mencipta kejayaan waktu terdekat.

"Oleh itu, tiada alasan lagi jika gagal mempamerkan aksi cemerlang kerana perkara penting adalah barisan kejurulatihan bijak merencana strategi dengan memanfaat kelebihan dimiliki setiap pemain kacukan dan naturalisasi," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Akhbar ini semalam melaporkan pemain kacukan Malaysia-Belgium iaitu Cools akan melengkapkan barisan pemain negara dalam menghadapi aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bermula minggu depan.

Kehadiran pemain FC Midtjylland yang beraksi di liga utama Denmark itu menambah lagi senarai individu berdarah kacukan dalam skuad Harimau Malaya.

Pemain berusia 24 tahun kelahiran Kuching, Sarawak itu pernah mewakili skuad remaja Belgium selain beraksi di pentas Liga Juara-Juara Eropah musim ini.

Ketika ini Harimau Malaya sudah memiliki enam pemain berdarah kacukan seperti Junior Eldstal (Chonburi FC), Brendan Gan (Selangor FC), Dominic Tan (Police Tero FC), Samuel Somerville (Penang FC) manakala Corbin Ong dan Matt Davies pula beraksi bersama Johor Darul Ta'zim (JDT). Selain itu, tiga pemain naturaliasi adalah tonggak JDT, de Paula dan Mohamadou Sumareh serta Liridon yang kini beraksi bersama Newcastle Jets FC berpangkalan di Australia.

Sementara itu, Azraai berkata, peluang pemain tempatan seperti Safawi Rasid, Syafiq Ahmad dan Akhyar Rashid tidak akan tertutup kerana kemampuan dan kelebihan dimiliki mereka turut diperlukan oleh Cheng Hoe.

"Pemain tempatan sekarang ini sudah memiliki kelebihan yang hampir setaraf naturalisasi dan kacukan, malah ada antaranya lebih hebat sekali gus tidak perlu bimbang tempat atau nasib mereka dalam kesebelasan utama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Mei 2021 @ 7:00 AM