GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Bekas pengurus perhubungan pelanggan bank antarabangsa didakwa semula di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan memalsukan dokumen berkaitan 155 jongkong emas bernilai lebih RM6 juta milik pelanggan.

Mohd Saibulrijal Mohd Saad, 46, berdepan tuduhan berkenaan selepas dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) atas tuduhan sama yang dikemukakan pada 27 Mac lalu kerana kesilapan teknikal.

Lelaki itu yang masih bujang mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut pertuduhan, Mohd Saibulrijal didakwa dengan curangnya menggunakan dua dokumen iaitu 'Gold Safe Keeping Service Withdrawal Form' yang diketahui dokumen itu adalah palsu di sebuah bank antarabangsa di Bangsar, di sini, jam 9 pagi hingga 4 petang pada 13 Januari 2021.

Lelaki terbabit juga berdepan tuduhan memalsukan dokumen 'Letter of indemnity' di tempat dan masa sama pada 15 Oktober 2019.

Pendakwaan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan (KK) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 KK yang membawa hukuman hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya disabit kesalahan.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Norfauzani Mohd Nordin mencadangkan jaminan RM15,000 bagi setiap tuduhan seperti ditawarkan sebelum ini yang kemudian dipersetujui peguam Mohd Saibulrijal, ShahrulAzwad Ismail.

Dalam pada itu, semasa prosiding, Norfauzani memohon mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) tertuduh atas tiga daripada 46 pertuduhan pemalsuan dokumen, kerana kesilapan teknikal.

Azrul membenarkan perkara itu selepas pihak pembelaan tidak membantah permohonan pendakwaan berkenaan.

Bagaimanapun, selepas dia dituduh semula atas tiga pertuduhan baharu, jumlah keseluruhan kesnya, kekal menjadi 80 pertuduhan.

Pada 27 Mac lalu, bekas pengurus perhubungan bank itu mengaku tidak bersalah di depan hakim sama atas 80 pertuduhan pecah amanah, salah guna harta, pemalsuan dokumen dan menipu berkaitan 155 jongkong emas.

Bagi 26 pertuduhan menipu, dia didakwa menipu beberapa pegawai bank dengan memperdaya mereka untuk mempercayai beberapa pelanggan hendak mengeluarkan dan membeli 155 jongkong emas.

Berdasarkan 46 pertuduhan pemalsuan dokumen pula, Mohd Saibulrijal didakwa menggunakan dokumen tulen di bank sama, antara jam 9 pagi hingga 4 petang, antara 15 Oktober 2019 hingga 13 Januari 2021.

Lelaki itu juga didakwa menyalahgunakan harta, iaitu 33 jongkong emas berat antara 0.05 hingga satu kilogram milik tiga wanita pelanggan bank itu. Dia dituduh melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 12 hingga 24 Ogos 2021.

Bagi tuduhan pecah amanah jenayah, dia dituduh menyalahgunakan harta, iaitu dua jongkong emas yang setiap satu seberat 500 gram, kepunyaan seorang wanita bergelar Datin berusia 75 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 2:09 PM