PEMAIN Malaysia selepas final kedua Piala AFF 2018 menetang Vietnam di Hanoi, 15 Disember lalu. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PEMAIN Malaysia selepas final kedua Piala AFF 2018 menetang Vietnam di Hanoi, 15 Disember lalu. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Zulfaizan Mansor


KUALA LUMPUR: Belum tiba masanya buat rakyat Malaysia mengimpikan Harimau Malaya boleh layak ke Piala Dunia walaupun skuad itu akan diperkuatkan dengan lebih ramai pemain kacukan dan naturalisasi selepas ini.

Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan menjelaskan semua pihak perlu realistik betapa masih banyak yang perlu dilakukan untuk memantapkan lagi Harimau Malaya dan layak ke Piala Dunia.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan pengambilan pemain naturalisasi dan kacukan satu langkah jangka pendek paling tepat dalam membantu meningkatkan mutu permainan Harimau Malaya.

“Kehadiran mereka (pemain naturalisasi dan kacukan) akan membantu skuad negara. Tapi anda perlu sedar anda tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada mereka, pemain tempatan pun kena berusaha memperbaiki permainan.

“Jangan anda ingat dengan kehadiran pemain naturalisasi dan kacukan seperti Lee Tuck serta yang lain kita boleh terus layak ke Piala Dunia. Cuma dengan ada pemain naturalisasi harapan rakyat Malaysia lebih tinggi, jadi KPI (indeks petunjuk prestasi utama) pun kena tinggi,” katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

“Anda kena fikir juga, berapa orang yang boleh diambil sebagai pemain naturalisasi. Mungkin pemain naturalisasi yang diperlukan juga hanya untuk posisi tertentu, contohnya seorang di bahagian pertahanan, seorang pemain tengah dan seorang penyerang.”

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam dilaporkan akan merekrut lebih ramai pemain naturalisasi untuk memperkuatkan Harimau Malaya dengan bekas perancang Kedah, Liridon Krasniqi dan penyerang Kuala Lumpur, Guilherme De Paula menjadi calon utama yang berada dalam radar badan induk itu.

Sebelum ini, FAM sudah mengambil Mohamadou Sumareh sebagai pemain naturalisasi pertama negara bermula tahun ini dan prestasi pemain kelahiran Gambia itu tidak mengecewakan selepas membantu Harimau Malaya muncul naib juara Piala AFF baru-baru ini.

Selain naturalisasi, pemain kacukan atau berdarah campuran juga akan memberi lebih banyak pilihan buat jurulatih Harimau Malaya membentuk pasukan mantap terutama dalam mengharungi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan bermula pertengahan tahun depan.

Beberapa pemain kacukan termasuk Tuck, Brendan Gan, La’Vere Corbin-Ong dan Natxo Insa menjadi antara pemain yang diharap dapat digandingkan untuk membentuk skuad Harimau Malaya yang lebih mantap.

Bagi Sathianathan, kehadiran lebih ramai pemain naturalisasi dan kacukan tetap tidak boleh lari daripada keperluan memenuhi falsafah atau pendekatan yang cuba diterapkan jurulatih Harimau Malaya.

“Kalau semua pemain kacukan sertai Harimau Malaya, sudah pasti pasukan itu makin kuat. Tapi dengan pemain saja tidak cukup kerana mereka mesti terima cara Tan Cheng Hoe (jika dikekalkan sebagai jurulatih Harimau Malaya).

“Jika mereka tidak yakin dengan falsafah, mungkin mereka tidak berjaya. Jadi tidak bermakna dengan memegang status sebagai pemain naturalisasi atau kacukan, mereka terus boleh berada dalam perancangan Cheng Hoe,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 6:42 PM