DE Paula antara tonggak naturalisasi Harimau Malaya. FOTO FAM
DE Paula antara tonggak naturalisasi Harimau Malaya. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya digesa merehatkan tonggak naturalisasi negara pada saingan Piala AFF yang akan berlangsung pada Disember ini.

Cadangan itu disuarakan bekas pemain kebangsaan Datuk M Karathu, yang melihat tahap saingan Piala AFF seharusnya digunakan sebaiknya dengan mempertaruhkan pemain tempatan dan kacukan tanpa khidmat pemain naturalisasi.

"Nama pun pemain naturalisasi, sepatutnya kita guna mereka untuk kejohanan besar sahaja seperti kelayakan Piala Asia atau kelayakan Piala Dunia. Tapi untuk Piala AFF, bagilah pemain tempatan, kalau tak pemain kita tak ada peluang nak menyinar," katanya kepada Arena Metro.

Karathu, 77, yang berpengalaman luas sebagai jurulatih termasuk pernah mengendali pasukan kebangsaan Sri Lanka serta kelab Singapura, Woodlands Wellington FC menambah, gandingan pemain tempatan bersama tonggak kacukan sudah cukup bagi menyediakan sebuah pasukan mantap di Piala AFF nanti.

Malah, penyertaan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara di Kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Mongolia pada hujung bulan ini boleh dijadikan platform tambahan untuk mengesan bakat baharu yang boleh diketengahkan bersama skuad senior negara.

"Pemain muda kita pun akan main kelayakan hujung bulan ini, saya rasa dari situ jurulatih negara (Tan Cheng Hoe) juga boleh memanggil pemain yang menyerlah nanti.

"Bila diadunkan pemain muda, pemain senior dan pemain kacukan, saya rasa pasukan kita juga kuat dan boleh menewaskan Thailand dan boleh beri tentangan sengit kepada Vietnam.

"Sebelum ini pun kita kalah juga dengan Vietnam (Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di UAE Jun lalu). Jadi baik kita bagi peluang kepada pemain tempatan di mana komitmen mereka lebih tinggi ketika bermain di atas padang," katanya.

Untuk rekod, skuad Harimau Malaya sudah merekrut tiga pemain naturalisasi iaitu Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula.

Daripada tiga pemain itu, hanya Sumareh yang pernah beraksi di Piala AFF pada 2018 lalu dengan skuad negara muncul naib juara selepas tewas 2-3 secara agregat kepada Vietnam.

Di saingan Piala AFF nanti, skuad kendalian Cheng Hoe diundi dalam Kumpulan B bersama Laos, Indonesia, Kemboja dan juara bertahan, Vietnam dengan Singapura dipilih sebagai tuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 10:50 PM