LELAKI ditahan di lorong motosikal berhampiran Plaza Tol Bukit Permai, Lebuhraya SUKE kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu bagi mengelak motosikalnya ditarik pihak bank. FOTO ihsan polis
LELAKI ditahan di lorong motosikal berhampiran Plaza Tol Bukit Permai, Lebuhraya SUKE kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu bagi mengelak motosikalnya ditarik pihak bank. FOTO ihsan polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang Jaya: Helah seorang lelaki menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu untuk mengelak motosikalnya ditarik pihak bank mengundang padah apabila ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, lelaki berusia 21 tahun itu ditahan di lorong motosikal berhampiran Plaza Tol Bukit Permai, Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), di sini, jam 7 pagi.

"Lelaki itu ditahan oleh anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya semasa menjalankan tugas sekatan jalan raya (SJR).

"Semasa pemeriksaan dilakukan terhadap motosikal Yamaha Y15 ditunggang lelaki itu mendapati dia mempunyai lesen memandu yang sah.

"Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati nombor pendaftaran belakang dipamerkan pada motosikal itu didaftarkan atas sebuah kenderaan lain," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Azam berkata, hasil soal siasatan mendapati lelaki itu menukar nombor pendaftaran kenderaan lain pada motosikalnya kerana mahu mengelak ditarik pihak bank.

"Ini disebabkan kegagalan lelaki berkenaan menjelaskan bayaran ansuran bulanan ditetapkan kepada pihak bank.

"Lelaki itu kemudian ditahan dan dibawa ke Balai Polis Trafik IPD Ampang Jaya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Menurutnya, perbuatan menukar dan mempamerkan nombor pendaftaran palsu yang bukan hak milik kenderaan itu adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.

"Oleh itu, gunakan akal untuk berfikir dengan sebaiknya daripada mengundang sebarang permasalahan dan kesusahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 2:23 PM