MOHD Azraai. FOTO Iqmal Haqim Rosman
MOHD Azraai. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Firdaus Hashim


BUKAN empat atau lima pemain naturalisasi atau kacukan yang sedia beraksi buat skuad Harimau Malaya sebaliknya 11 pemain dilihat mampu memperkasakan pasukan kebangsaan sekali gus memberi impak berbeza menjelang aksi antarabangsa tahun depan.

Dengan tiga pemain kacukan iaitu Matthew Davies, La’Vere Corbin-Ong dan Brendan Gan serta seorang tonggak naturalisasi, Mohamadou Sumareh semakin mendapat tempat dalam kesebelasan utama, kehadiran dua ayam tambatan import, Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi mulai tahun depan dijangka menambah lagi sengat pasukan negara di bahagian depan.

Malah, untuk memastikan kekuatan pasukan seimbang daripada benteng pertahanan hingga serangan, lima lagi pemain kacukan sebenarnya mampu menguatkan lagi taring pasukan terutama di posisi tengah dan pertahanan.

Selain ketumpulan jentera depan, satu lagi perkara yang memeningkan pengendali negara, Tan Cheng Hoe sudah tentu di bahagian pertahanan di mana dalam dua aksi kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 menentang Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyaksikan kelonggaran di benteng mengecewakan.

Dibolosi dua kali ketika menang 3-2 ke atas Indonesia, selain hampir mengejutkan UAE sebelum tewas 1-2 kepada UAE, Cheng Hoe boleh mencuba kombinasi pemain kacukan sepenuhnya untuk mengimbangi peranan Brendan, Davies, Corbin-Ong dan Sumareh yang nyata memberi aura berbeza buat pasukan negara.

Antara pemain yang berpotensi disenaraikan termasuk pertahanan tengah PKNS FC, Nicholas Swirad dan pertahanan Port Melbourne FC di Liga Australia, Curran Ferns selain penjaga gol Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Samuel Somerville.

Bekas pengendali Kedah yang pernah menghadiahkan kejuaraan double treble’ pada 2007-2008, Azraai Khor Abdullah berkata, Cheng Hoe mempunyai senarai pemain kacukan dan naturalisasi yang mantap dan beliau yakin jika kelompok pemain ini dibariskan, tidak mustahil Malaysia mampu ke Piala Asia 2023 di China.

“Bagi saya secara peribadi, ini adalah dream team oleh semua jurulatih sekiranya berpeluang mengendalikan pasukan negara. Tidak mustahil pasukan ini akan dapat melakukan kejutan kerana bagi saya dalam bola sepak tiada apa yang mustahil.

“Malah, kita dapat pun peningkatan mendadak permainan skuad Harimau Malaya ketika menentang UAE yang saya fikir sebuah pasukan yang jauh lebih kuat daripada kita. Tapi sebaliknya berlaku apabila kita hampir menewaskan mereka. Kehadiran pemain naturalisasi banyak mengubah corak permainan kita, ditambah dengan taktikal jurulatih banyak kemajuan dalam pasukan negara.

“Ia petanda positif dan pemain tempatan kena kerja lebih keras lagi untuk rebut tempat dan jangan jadikan kehadiran ramai pemain kacukan atau naturalisasi sebagai alasan yang mereka tidak boleh menyerlah,” katanya.

Jelasnya, kelemahan di barisan pertahanan amat kritikal dan kemasukan pemain kacukan ini adalah jawapan kepada kelompongan di bahagian bawah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 6:00 AM