CHUKWUBUNNA (tengah) calon terbaru naturalisasi negara. FOTO Ghazali Kori
CHUKWUBUNNA (tengah) calon terbaru naturalisasi negara. FOTO Ghazali Kori
Firdaus Hashim

Jika sebelum ini pemain naturalisasi tidak mendapat perhatian serius Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), kini segala-galanya berubah apabila badan induk itu meluluskan mekanisme baharu berhubung proses pengambilan pemain berkenaan.

Ia direalisasikan pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Kali Ke-7 yang berlangsung di Pulau Pinang, 30 Mac lalu.

Pengumuman itu tepat pada masanya ketika prestasi Harimau Malaya dilihat terus merudum saban tahun dengan ranking pasukan negara kekal pada kelompok 160 dunia bersama Guam, Sri Lanka, Macau, Laos dan beberapa negara kepulauan Oceania.

Lantas dalam usaha meletakkan kembali Malaysia sebagai kuasa bola sepak Asia, pengambilan lebih ramai pemain naturalisasi adalah satu mekanisma tepat ketika ini.

Kelibat tonggak naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh pada kempen Piala AFF, Disember lalu antara contoh impak segera yang diharapkan FAM untuk meningkatkan persembahan Harimau Malaya.

Pada saingan tertinggi Asean itu, skuad kendalian Tan Cheng Hoe berjaya melakukan kejutan dengan melangkah ke perlawanan akhir sebelum tewas kepada Vietnam menerusi agregat 2-3.

Beberapa calon pemain import dalam Liga Malaysia (Liga-M) ketika ini menjadi perhatian FAM bagi dilamar sekali gus mengikut jejak langkah Sumareh.

Antara nama yang disebut-sebut adalah penyerang Kuala Lumpur, Guilherme De Paula, Liridon Krasniqi (Melaka United), Michael Ijezie Chukwubunna (UKM FC), Gonzalo Cabrera (JDT) dan Romel Morales (PKNS FC).

Namun, daripada lima calon berkenaan, hanya Ijezie dilihat pemain yang berjaya memenuhi kriteria ditetapkan kerana sudah lebih lima tahun berada di negara ini.

Menurut syarat FIFA, setiap pemain naturalisasi yang tiada pertalian darah perlu menetap sekurang-kurangnya lima tahun sebelum boleh daftarkan sebagai pemain negara berkenaan.

Buat De Paula dan Liridon pula, mereka hanya memerlukan beberapa bulan lagi selepas beraksi hampir empat musim di Liga M, manakala Cabrera dan Morales harus menunggu sekurang-kurangnya dua ke tiga tahun lagi.

Selain kaedah sistem naturalisasi, FAM juga menggalakkan kepulangan pemain yang mempunyai darah campuran Malaysia bagi memberi pilihan tambahan kepada barisan kejurulatihan negara.

Berbeza dengan syarat naturalisasi, FIFA menjelaskan pemain berdarah kacukan yang mempunyai pertalian darah dengan negara yang mahu diwakilinya, sama ada ibu bapa atau nenek dan datuk mereka dilahirkan di negara itu boleh didaftarkan sebagai pemain kebangsaan.

Sehingga kini, 13 pemain kelahiran luar negara diberikan kerakyatan tetapi kebanyakan mereka bermain di posisi tengah dan pertahanan dengan hanya Darren Lok dan Sam Somerville satu-satunya penyerang dan penjaga gol dalam senarai berkenaan.

Selain Darren dan Somerville yang kini beraksi bersama JDT, tiga lagi rakan sepasukan mereka iaitu Natxo Insa, Corbin Ong dan Kiko Insa turut boleh disenaraikan oleh Cheng Hoe bersama-sama Brendan Gan (Perak), Curran Ferns (Sukhothai FC), Stuart Wark (Pulau Pinang), Matthew Davies (Pahang), Khair Jones (Kuala Lumpur), Shazalee Ramlee (Sarawak), Daniel Ting (PKNS FC) dan Nick Swirad (PKNS FC).

Mungkin dalam sedikit masa lagi, jumlah berkenaan akan bertambah sekiranya proses mendaftarkan arkitek Terengganu FC, Lee Tuck berjaya dilaksanakan.

Malah, berdasarkan laporan media sebelum ini, tiga pemain berdarah Malaysia beraksi di liga utama Eropah dengan seorang daripada mereka Dion Johan Cools yang bermain untuk Brugge KV di Liga Belgium boleh disenaraikan.

Tonggak utama Sporting Kansas City, Wan Kuzain Wan Kamal dalam saingan Major League Soccer (MLS) di Amerika Syarikat juga boleh dipertimbangkan oleh FAM bagi menambah sengat dan kualiti kepada pasukan kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 6:01 AM