CHENG Hoe (kanan) mahu anak buahnya fokus kepada latihan termasuk mempamerkan aksi terbaik. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
CHENG Hoe (kanan) mahu anak buahnya fokus kepada latihan termasuk mempamerkan aksi terbaik. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Mentaliti tidak mudah 'koyak' ketika bertemu lawan pada Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 antara perkara yang dititikberatkan barisan kejurulatihan bagi memastikan pemain mampu fokus dan mempamerkan aksi terbaik mereka kelak.

Ketika ini, seperti sedia maklum sudah tentu Emeriah Arab Bersatu (UAE) akan menggunakan apa jua cara bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka termasuklah menguji mentaliti barisan pemain Harimau Malaya.

Perkara terbabit diakui Pengendali Harimau Malaya Tan Cheng Hoe apabila mahu anak buahnya fokus kepada latihan termasuk mempamerkan aksi terbaik mereka pada dua aksi perlawanan persahabatan menentang Kuwait (hari ini) dan Bahrain.

Walaupun mengakui kali ini beliau memiliki antara barisan pemain Harimau Malaya terbaik namun itu bukanlah tiket untuk memandang mudah lawan yang rata-rata juga menyimpan impian ke pusingan seterusnya.

"Kalau kita lihat diatas kertas kita dapat kumpulan barisan terbaik di semua posisi, tapi itu hanyalah diatas kertas.

"Untuk bermain sebagai satu pasukan di mana keserasian itu penting dan barisan pemain juga perlu fokus dan memiliki mentaliti kuat.

"Perkara terbabit penting kerana kita bermain tanpa penonton sendiri selain jauh daripada tanah air sekali gus menguji pemain untuk beraksi baik atau sebaliknya," katanya.

Skuad Harimau Malaya boleh dikatakan antara terbaik berjaya dikumpulkan apabila dibarisi beberapa pemain naturalisasi, kacukan serta beraksi diluar negara seperti Liridon, De Paula, Eldstal, Brendan Gan, Mohamadou Sumareh, Dominic Tan, Corbin Ong, Matt Davies , Samuel Somerville dan Luqman Hakim.

Pasukan negara bakal mengharungi dua aksi pemanas badan apabila bertemu Kuwait esok dan akan berlepas ke Manama untuk berdepan Bahrain pada 28 Mei.

Untuk rekod, bagi aksi kelayakan, skuad Harimau Malaya akan bertemu tuan rumah UAE di Stadium Zabeel, Dubai pada 3 Jun, diikuti aksi menentang Vietnam di Stadium Al Maktoum (11 Jun) dan berdepan Thailand juga di Stadium Al Maktoum (15 Jun).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Mei 2021 @ 9:39 PM