MICHAEL Chong (kanan) bersama Sook Fun (tengah) pada sidang media berhubung gangguan along. FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
MICHAEL Chong (kanan) bersama Sook Fun (tengah) pada sidang media berhubung gangguan along. FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Gara-gara sikap 'tahi judi' anak, seorang ibu tunggal merana kerana sering diganggu dan diugut along yang mengutip hutang sejak tiga tahun lalu.

Lim Sook Fun, 64, merayu anak sulungnya berusia 40 tahun yang sudah menghilangkan diri itu supaya tampil melunaskan hutangnya dengan segera dan berhenti menyusahkan keluarga.

Menurutnya, dia mahu memutuskan hubungan kekeluargaan dengan anak lelakinya itu kerana terlalu kecewa dengan perbuatannya yang disifatkan sebagai amat tidak bertanggungjawab.

"Saya dah bersara dan suami sudah meninggal dunia lebih kurang 10 tahun lalu. Dia anak sulung tak pernah bantu saya tetapi hanya tambah menyusahkan hidup saya.

"Ini sudah masuk kali ketiga dia meminjam dengan lintah darat, sebelum ini saya sudah bantu bayarkan hutang dia dua kali sebanyak RM30,000 dan RM40,000," katanya pada sidang media di Wisma MCA di sini, hari ini.

Dengan nada sedih pesara swasta itu merayu kepada anaknya yang bekerja sebagai perunding hartanah supaya melangsaikan hutang sendiri dan berhenti menyusahkan ahli keluarga.

"Sampai hati dia buat saya begini, mak awak ini sudah tua, saya tak ada banyak wang untuk bantu kamu, tolong jangan ganggu saya lagi.

"Saya mahu putuskan hubungan dengan anak sulung saya itu kerana dah berikan banyak peluang dan kepada along tolong jangan ganggu saya, mintalah wang pada orang yang meminjam," katanya.

Sook Fun berkata, along terbabit bukan setakat mengganggu, dan mengugut dirinya malah tiga kali menyimbah cat merah pada kediamannya serta lapan rumah jiran pada 21 April lalu.

Katanya, along berkenaan turut mengugut mahu membakar rumah mereka selepas mendapat tahu dia membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

"Saya tak tahu berapa banyak anak pinjam dan saya sudah tolong bayar beberapa kali sejak 2022, berapa ramai along dia pinjam pun saya tidak pasti.

"Bukan hanya pada saya, along terbabit turut mengganggu dua anak saya yang lain untuk meminta hutang," katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong memberi amaran kepada lintah darat terbabit supaya berhenti mengganggu ibu tunggal berkenaan.

"Anak punya pasal bukan salah ibu, jangan cari ibu, jangan cari orang tak bersalah, carilah anak dia yang berhutang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 2:33 PM