KHIDMAT Safawi diperlukan skuad negara.
KHIDMAT Safawi diperlukan skuad negara.
Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Bintang Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid antara 28 pemain yang disenaraikan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe bagi menghadapi kempen Piala AFF di Singapura bermula 6 Disember ini.

Safawi, 24, yang diketepikan dalam dua aksi persahabatan di Amman, Jordan bulan lalu kembali memperkuatkan barisan skuad negara yang meletakkan sasaran mara ke pentas final sekali gus merebut trofi 'Raja' Asia Tenggara itu.

Selain kepulangan semula Safawi ke pangkuan pasukan, Cheng Hoe turut menyenaraikan tonggak kacukan, Dion Cools yang kini beraksi buat kelab Denmark, FC Midtjylland.

Dua kelibat pemain naturalisasi iaitu Mohamadou Sumareh dan Guilherme De Paula yang sering menjadi bahan kecaman peminat sebelum ini turut tersenarai.

Skuad negara bakal memulakan kem latihan pada 22 November ini di mana ia hanya babitkan kelompok pemain yang tidak beraksi di peringkat separuh akhir Piala Malaysia.

Ini bermakna, pasukan yang sudah terkeluar daripada saingan Piala Malaysia sama ada peringkat kumpulan dan suku akhir akan melapor diri di Wisma FAM, Kelana Jaya pada tarikh berkenaan.

Ia kemudian bakal disusuli pemain yang pasukannya tersingkir pada peringkat separuh akhir untuk melapor diri pada 28 November sebelum fasa terakhir babitkan pemain beraksi di final akan mula melapor diri tiga hari kemudian.

Bagi pemain berpangkalan di luar negara, mereka akan melapor diri mengikut tarikh pelepasan yang diberikan oleh kelab masing-masing.

Cheng Hoe hanya akan menyenaraikan seramai 24 pemain untuk skuad akhir ke Piala AFF yang mana skuad Harimau Malaya dijadual berlepas ke Singapura pada Jumaat, 3 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 2:13 PM