AZRAAI yakin Harimau Malaya mampu pergi lebih jauh.
AZRAAI yakin Harimau Malaya mampu pergi lebih jauh.
Firdaus Hashim


"KITA asyik fikir Piala AFF dan Sukan Sea saja, kalau ada kombinasi pemain mantap seperti (Harry) Edge, (Marcel) Kalonda dan lain-lain dah boleh beri saingan di tahap lebih tinggi," kata jurulatih berpengalaman, Azraai Khor Abdullah.

Jelas bekas pengendali Harimau Muda dan Kedah itu, himpunan pemain berkualiti membabitkan gabungan tonggak tempatan dan naturalisasi peluang terbaik buat pengurusan pasukan kebangsaan menyasarkan saingan lebih tinggi selepas ini.

Azraai mengulas laporan akhbar ini yang mendedahkan hasrat Edge dan Kalonda untuk menyertai skuad Harimau Malaya selepas mendakwa memiliki pertalian darah dengan negara ini.

Hasil laporan berkenaan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi tidak menunggu lama apabila terus menghubungi kedua-dua pemain itu bagi mendapatkan dokumen rasmi sebelum dipanggil bagi diuji kemampuan mereka.

Edge yang kini beraksi bersama kelab Torslanda IK di liga Sweden dikatakan bapanya lahir di Melaka manakala Kalonda yang bermain di liga Zambia didakwa memiliki susur galur keluarga dari Sabah dengan datuknya lahir di negeri bawah bayu itu.

Mengulas lanjut, Azraai berkata, kehadiran dua tonggak warisan di posisi pertahanan tengah iaitu Harry Edge dan Marcel Kalonda diakui mampu memperbaiki kelemahan itu sekali gus mengimbangi kekuatan di bahagian serangan pasukan.

"Memang (kehadiran Edge dan Kalonda) membantu sangat...kedua-duanya dapat menyumbang dan pertahanan kita akan tampil lebih baik.

"Pandangan peribadi saya, pasukan Tan Cheng Hoe banyak sangat peningkatan yang dah lama kita tak dapat tengok macam ini. Kemasukan pemain di bahagian depan yang juga naturalisasi seperti Mohamadou Sumareh dan pemain kacukan, Brendan Gan membawa dimensi berbeza.

"Jadi apa salahnya kita mencuba pula pemain pertahanan yang ada talian darah dengan Malaysia. Tahap permainan, pengalaman dan kebijaksanaan dalam menangani tekanan adalah kelebihan pemain dari luar. Sudah tentu, kesilapan mudah atau bolos secara senang lepas ini dapat diatasi dan akhirnya ia akan dapat menambah keyakinan rakan-rakan lain di atas padang ketika beraksi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2020 @ 10:56 PM