Amir Abd Hamid; Muhaamad Hafis Nawawi dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: "Kira-kira jam 9 malam, seseorang yang memperkenalkan sebagai pegawai polis menghubungi saya gunakan telefon adik menyatakan adik sudah meninggal dunia," kata Maslinawati Abdullah.

Adik bongsunya, Nor Hayati Abdullah, 42, adalah seorang daripada dua mangsa maut selepas treler melanggar kerangka besi pada binaan jejantas menyebabkan rusuk keluli perancah Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) terjatuh di laluan Lebuhraya Lingkaran Tengah (MRR2) dan menghempap van dinaiki lima mangsa,

semalam.

Maslinawati, 43, berkata, dia balik dari tempat kerja pada 6.30 petang dan mendapat panggilan daripada penyelia adiknya itu pada 7 malam.

"Penyelia adik (panggilan manja Nor Hayati dalam keluarga) menyatakan ada berlaku kemalangan ketika adik dan rakannya dalam perjalanan ke tempat kerja di kilang elektronik di Subang Mewah.

"Dia maklumkan belum tahu lagi situasi sebenar bagaimana.

"Dari semasa ke semasa saya berhubung dengannya selain saya lihat secara langsung di televisyen," katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Canselor Tunku Mukhriz (HCTM) selepas membuat pengecaman jenazah adiknya, malam tadi.

MASLINAWATI menunjukkan gambar kenangan bersama arwah Nor Hayati (kiri) ketika ditemui di hospital, tengah malam ini. FOTO AMIR ABD HAMID.
MASLINAWATI menunjukkan gambar kenangan bersama arwah Nor Hayati (kiri) ketika ditemui di hospital, tengah malam ini. FOTO AMIR ABD HAMID.

Dia yang ditemani suaminya, Faizal Yusof, 47, menjelaskan pegawai polis yang menghubunginya meminta ke hospital untuk melakukan pengecaman jenazah.

"Kali terakhir kami berjumpa Ahad lalu di kampung. Terasa sangat kehilangan ini...seperti tak percaya berita ini.

"Saya lihat tadi keadaannya seperti tidur...Insya-Allah, kita sama-sama doakan untuknya," katanya.

Beliau berkata, tragedi itu sangat menyedihkan terutama baru dua tahun lalu kematian kakak yang ketiga akibat barah payudara.

Menurutnya, selepas bedah siasat pada 8 pagi hari ini, jenazah adiknya akan dibawa ke Kampung Jerang Belanga, Sungai Besar untuk dikebumikan.

Katanya, setakat tengah malam tadi, ibunya, Hasmah Sohor, 77, yang kurang sihat masih belum mengetahui cerita sebenar dan berita kematian adiknya.

Berita berkaitan

'Dua wanita maut, tiga selamat tragedi runtuhan jejambat'

'Dua mangsa runtuhan stabil, seorang mangsa angkat tangan'

'Mangsa pertama dibawa keluar daripada runtuhan jejambat'

'Lori terlanggar jejambat bukan milik SUKE'

'Jejambat runtuh dilanggar lori bawa jengkaut'

'Lima terperangkap dalam van kilang dihempap runtuhan'

'Van kilang dihempap jejambat lebuh raya runtuh'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 1:00 AM