Ibu mangsa kemalangan, Hasmah Sohor menunjukkan gambar terakhir anak bongsunya, Nor Hayati Abdullah (dalam gambar, tudung hitam, kanan) ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jerang Belanga, Bagan Terap, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Ibu mangsa kemalangan, Hasmah Sohor menunjukkan gambar terakhir anak bongsunya, Nor Hayati Abdullah (dalam gambar, tudung hitam, kanan) ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jerang Belanga, Bagan Terap, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Amirul Aiman Hamsuddin


Sungai Besar: "Allah uji saya sekali lagi. Minggu lepas dia ada pulang dan pesan kepada anak-anak saudaranya supaya menjaga saya dengan baik. Tak sangka itu pesanan terakhirnya," kata Hasmah Sohor, 77.

Hasmah adalah ibu kepada Nor Hayati Abdullah, 42, yang meninggal dunia akibat kemalangan membabitkan van kilang yang dinaikinya dihempap runtuhan struktur jejantas pembinaan projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Desa Tun Razak, di sini, semalam.

Dia adalah salah seorang yang maut dalam kemalangan yang meragut nyawa seorang lagi wanita manakala tiga lagi mengalami kecederaan dalam kejadian 5.58 petang, semalam.

Menurutnya, kejadian menimpa anak bongsunya itu dimaklumkan oleh menantunya, Zainal Yusof, 50 iaitu suami kepada seorang lagi anaknya, Sabahah Abdullah, 47.

"Saya terkejut. Saya tidak tahu macam mana nak cerita. Kalau arwah sakit, boleh saya tengok lagi. Ini dah serta-merta (meninggal dunia).

"Dua tahun lalu saya kehilangan anak (Laila Hayati Abdullah) akibat kanser payu dara. Kali ini arwah pula dijemput Ilahi akibat kemalangan.

"Arwah Laila Hayati meninggal dunia pada 9 Mac 2019 manakala arwah Nor Hayati pula meninggal dunia semalam (3 Mac). Mereka pergi dalam bulan yang sama tetapi tahun yang berbeza," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jerang Belanga, Bagan Terap, di sini, hari ini.

Hasmah berkata, Nor Hayati adalah seorang yang penyayang dan rapat dengan ahli keluarga terutama anak-anak saudara.

"Setiap kali arwah pulang bercuti, dia akan bawa anak-anak saudaranya berjalan-jalan ke pekan Bagan Terap. Kalau beli makanan, dia mesti beli lebih untuk mereka.

"Minggu lalu (25 Februari), arwah ada balik kampung bersama kakaknya Sabahah. Dia pesan kepada anak-anak saudara supaya jaga saya baik-baik. Tak sangka itu pesanan terakhir daripadanya," katanya dalam linangan air mata.

Sementara itu, Sabahah ketika ditemui berkata, jenazah Nor Hayati dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lubuk Pusing selepas selesai urusan bedah siasat.

"Buat masa ini, kami menunggu ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu," katanya.

Dalam kejadian petang semalam, sebuah treler membawa lebih muatan melanggar perancah besi pembinaan SUKE, menyebabkan berlaku runtuhan dan menghempap sebuah van pekerja.

Dua wanita pekerja kilang maut manakala dua lagi rakan mereka bersama seorang lelaki yang juga pemandu van itu cedera.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya dalam kenyataan hari ini mengesahkan pemandu treler itu positif dadah.

Berita berkaitan

'Nurina rancang beli kereta [METROTV]

''Pemandu treler langgar jejambat direman 4 hari

'Arwah banyak menyendiri, diam' - Rakan [METROTV]

'Jejambat runtuh: Pemandu treler positif dadah [METROTV]

'Saya lihat wajah adik seperti tidur' [METROTV]

'Dua wanita maut, tiga selamat tragedi runtuhan jejambat'

'Dua mangsa runtuhan stabil, seorang mangsa angkat tangan'

'Mangsa pertama dibawa keluar daripada runtuhan jejambat'

'Lori terlanggar jejambat bukan milik SUKE'

'Jejambat runtuh dilanggar lori bawa jengkaut'

'Lima terperangkap dalam van kilang dihempap runtuhan'

'Van kilang dihempap jejambat lebuh raya runtuh'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 4:53 PM