Keadaan Mat London agak membimbangkan.
Keadaan Mat London agak membimbangkan.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur : Bekas isteri Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim atau Mat London, 74, iaitu Datin Fadilah Mansor, 65, memaklumkan keadaan kesihatan terkini bekas suaminya itu agak membimbangkan.

Fadilah atau mesra dengan panggilan Kak Chik yang melawatnya di hospital Ahad lalu berkata, Mat London terpaksa ditidurkan berikutan keadaan paru-paru dan jantungnya sangat lemah.

"Kami anak beranak berkumpul dan melawat abang Mat. Sama-samalah kita doakan kesihatannya kembali pulih," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, pengarah dan pelakon yang dikenali dengan watak Pak Karim menerusi drama Kampong Pisang Bersiri-siri ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak 16 Jun lalu akibat jangkitan paru-paru.

Menantunya, Muhamad Daniel Ahmad ketika dihubungi media berkata, bapanya dimasukkan ke hospital pada 13 Jun lalu akibat jangkitan kuman dalam paru-paru selepas mengadu tidak bermaya dan keadaannya kini kritikal.

"Selepas dirawat di wad biasa, papa kemudian dipindahkan ke wad pengasingan. Berikutan keadaan kesihatannya yang semakin merosot, papa dipindahkan ke wad ICU untuk pemantauan rapi.

"Dan semalam, keadaan bertambah kritikal selepas papa tidak memberi sebarang tindak balas dan berada dalam keadaan separuh sedar.

"Susulan paras oksigen yang rendah dan kadar degupan jantungnya lemah, papa terpaksa ditidurkan," katanya.

Mat London juga mengalami pelbagai komplikasi penyakit lain yang turut menjejaskan kesihatannya.

"Selain jangkitan paru-paru dan keupayaan jantung untuk mengepam darah sangat lemah, papa juga mengalami masalah buah pinggang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2023 @ 1:09 PM