MAT London.
MAT London.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Keluarga Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim atau Mat London, 74, sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan berikutan kesihatannya di tahap kritikal.

Anak keempatnya Salmany Akir Ahmad, 42, berkata bapanya sekarang memang bergantung sepenuhnya dengan mesin oksigen dan berada di wad pengasingan Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Doktor pun cakap memang sukar dan jantung dia pun sudah tidak kuat. Bila tengok keadaan papa, rasa akan kehilangan dia pun ada juga. Dalam tempoh dua hari ini, dia memang tidur terus.

"Saya ada melawat juga semalam. Bila saya bercakap dengannya, ada tindak balas seperti mengangguk. Rasa macam ada harapan sedikit juga. Tapi itulah, kena terima sebarang kemungkinan," katanya.

Memasuki hari ke-18 ditahan di hospital, Salmany berkata Mat London tidak menunjukkan peningkatan daripada segi pernafasan selain banyak organ dalaman rosak.

"Doktor ada lakukan ujian berkala untuk beri papa bernafas sendiri tapi memang tak boleh. Paru-paru dan buah pinggangnya pun memang sudah rosak," katanya.

Terdahulu, pengarah dan pelakon yang dikenali dengan watak Pak Karim menerusi drama Kampong Pisang Bersiri-siri ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak 16 Jun lalu akibat jangkitan paru-paru.

Kemudian, dia terpaksa dipindahkan ke bilik ICU pengasingan bagi tujuan pemantauan rapi. Susulan paras oksigen rendah dan kadar degupan jantungnya lemah, dia terpaksa ditidurkan.

Mat London juga mengalami pelbagai komplikasi penyakit lain yang turut menjejaskan kesihatannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2023 @ 12:34 PM