Nora bersama suaminya, Dr Rushdi Ramli. FOTO Instagram Nora Ariffin
Nora bersama suaminya, Dr Rushdi Ramli. FOTO Instagram Nora Ariffin
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Keadaan penyanyi, Datuk Nora Ariffin, 50, yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) pusat perubatan di Kajang, Selangor bertambah stabil.

Suaminya, Dr Rushdi Ramli ketika dihubungi berkata, doktor masih mengenal pasti punca sesak nafas yang dialami isterinya sehingga terpaksa ditahan di ICU sejak awal pagi kelmarin.

"Keadaan dia sekarang ini okay. Doktor pakar dah periksa jantungnya dan okay. Pada mulanya dia alami sesak nafas jam 4 pagi kelmarin.

"Jadi, doktor nak kenal pasti punca dia susah bernafas. Tapi, sekarang jantung dah okay, paru-paru pun dah bersih dan cantik.

"Sebelum ini, dia ada rasa sakit perut sebelah kiri dan buah pinggang seperti ada jangkitan. Tapi, sekarang semua dah bertambah baik.

"Cuma sekarang, doktor masih tahan di ICU sebab tekanan darah tak berapa cantik lagi. Semalam bacaan dah cantik, cuma ia naik balik," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Rushdi, doktor juga memaklumkan kepadanya berkemungkinan besar Nora juga berdepan sesak nafas kerana tekanan darah.

"Menurut doktor, punca sesak nafas juga mungkin ada kaitan dengan tekanan darah tinggi. Kadang-kadang, kita tak tahu kita ada masalah tekanan darah tinggi," katanya.

Ditanya mengenai keadaan Nora di ICU, Rushdi berkata, isterinya nampak ceria malam semalam berbanding beberapa hari lalu.

"Keadaan dia dah banyak perkembangan positif. Ketika dia masuk ICU, dia tak berapa boleh bercakap dan lemah.

"Tapi, semalam dia dah boleh makan, bersembang dan ketawa ketika anak dia datang. Walaupun lemah, dia nampak ceria dah," katanya.

Terdahulu, Nora ditahan di wad biasa pada Sabtu dan mengadu sakit perut di bahagian kiri, sebelum mengalami sesak nafas awal pagi kelmarin.

"Ketika dipindahkan dari wad biasa ke ICU, dia masih menggunakan alat bantuan pernafasan. Semalam, dia dah mula dapat bernafas tanpa bantuan alat itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2023 @ 1:58 PM