LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Keadaan komposer terkenal, Wan Zul, 61, yang kritikal di Hospital Kemaman, Terengganu, akibat kencing manis dan jangkitan kuman dalam paru-paru kini semakin stabil.

Adiknya, Che Wan Zuhaini Che Wan Abd Ghani berkata, perkembangan terbaru setakat petang semalam menyaksikan tekanan darah abangnya yang masih dirawat Unit Rawatan Rapi (ICU) kini stabil.

"Alhamdulillah, keadaannya dipantau anaknya yang berada di hospital. Dia masih ditidurkan bermula dari jam 8 malam kelmarin sehingga keadaannya stabil.

"Kelmarin, jantungnya laju sampai terhenti sekejap. Alhamdulillah pagi semalam okey dan bacaannya kembali normal. Doktor mula beri ubat. Oksigen dan asid dalam darah juga okey.

"Ramai kawan-kawan dalam kumpulan WhatsApp mendoakan dia serta bagi kata-kata semangat buat anaknya yang turut berada dalam kumpulan itu," katanya kepada Harian Metro.

Che Wan Zuhaini berkata, abangnya yang tinggal di Kijal dimasukkan ke Hospital Kemaman sejak Ahad lalu.

"Bacaan kencing manisnya tinggi iaitu 24. Setahu saya dia makan ubat, tapi tak pasti mungkin kadang-kadang dia terputus ubat. Sebelum itu dia ada mengalami demam dan dibawa ke hospital. Selepas pemeriksaan barulah dia dimasukkan ke wad kecemasan. Ujian x-ray mendapati ada jangkitan kuman di paru-paru

"Tengah hari kelmarin dia diberikan alat bantuan pernafasan untuk ditidurkan kerana keadaannya kritikal. Sekitar jam 8 malam barulah abang dimasukkan ke ICU," katanya.

Wan Zul atau nama sebenarnya Che Wan Zulkifli Che Wan Abd Ghani berkahwin dengan Tengku Siti Famah dan memiliki sepasang anak iaitu Che Wan Norsyikin dan Che Wan Noradli.

Kariernya sebagai komposer menyaksikan Wan Zul mencipta lagu popular kumpulan Iklim iaitu Suci Dalam Debu.

Dia turut mencipta lagu popular lain seperti Hanya Satu Persinggahan (Ekamatra), Antara Sutra Dan Bulan (Damasutra), Aduhai Seribu Kali Sayang (Iklim), Kerana Takdir (Saleem), Biografi Cinta Luka (Iklim),

Itulah Cintaku (Ilusi), Di Badai Asmara (Sera), Khazanah Dari Malaya (Ayati Tasrip) dan banyak lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2022 @ 8:50 AM