Julie Sudiro
Julie Sudiro
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Keadaan terkini penyanyi veteran, Datin Paduka Julie Sudiro, 80, yang dimasukkan ke wad kecemasan Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam, semalam masih kritikal.

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez ketika dihubungi berkata, dia menghubungi anak Julie iaitu Jose Soliano dan diberitahu keadaan ibunya masih kritikal tetapi sudah menunjukkan tanda-tanda positif.

"Dia juga masih tidak dibenarkan menerima kehadiran pelawat buat masa ini. Dari wad kecemasan, Julie juga sudah dipindahkan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU) semalam.

"Julie ada masalah paru-paru dan perlu diberi rawatan rapi. Dia sudah mengalami masalah kesihatan sejak dua minggu lalu," katanya.

Freddie berkata, dia melawat Julie di rumahnya Khamis lalu bersama dua rakan penggiat seni.

"Ketika itu dia masih boleh berbual tapi suaranya kurang kuat kerana keadaannya sangat lemah.

"Keadaannya semakin teruk sebab itulah anaknya bawa dia ke hospital dan sekarang masih kritikal. Apapun sama-samalah kita doakan dia semoga kembali stabil dan seterusnya pulih," katanya.

Terdahulu, penyanyi Rozita Rohaizad menerusi mesej WhatsApp semalam memberitahu keadaan penyanyi bernama sebenar Raden Juariah Raden Sudiro ini kritikal dengan paras oksigennya rendah dan terpaksa ditidurkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 5:55 PM