Jenazah Mat London diuruskan di masjid di Hulu Klang.
Jenazah Mat London diuruskan di masjid di Hulu Klang.
Ridzuan Abdul Rahman

 

Hulu Klang: "Banyak kenangan sejak dari awal mulakan hidup bersama. Arwah memang seorang yang baik. Muka dia nampak serius, tapi sebaliknya dia adalah seorang yang kelakar."

Itu kata Datin Fadilah Mansor, berkenaan peribadi bekas suaminya, Allahyarham Mat London yang meninggal dunia pagi ini. 

Menurutnya, Allahyarham seorang yang kelakar di sebalik wajah yang penuh serius dan semuanya kini tinggal menjadi kenangan abadi buatnya. 

"Saya dan anak perempuan, serta anak-anak arwah dengan isteri pertama sudah berkumpul di Hospital Kuala Lumpur sejak awal pagi tadi, selepas doktor memaklumkan perkembangan terkininya.

"Keadaan arwah sudah kritikal dan doktor menasihatkan kami supaya bersedia dengan sebarang kemungkinan. 

"Dari jam 2 pagi kami sudah berada di hospital sehingga jam 4.30 pagi. Masa itu ahli keluarga lain juga sudah ramai berkumpul," katanya yang ditemui di pekarangan Masjid Al-Mardhiyah, Taman Melawati, di sini. 

Fadilah berkata, dia balik ke rumah terlebih dulu kerana ingin membuat persiapan sepatutnya. 

"Selepas itu, anak sulung lelaki (anak isteri pertama) yang menunggu dan berada di sisi bapanya memaklumkan betul-betul selepas azan Subuh, arwah meninggal dunia," katanya. 

Terdahulu, Mat London atau nama sebenarnya Ahmad Ibrahim, 74, meninggal dunia pada jam 5.57 pagi tadi di Hospital Kuala Lumpur. 

Allahyarham yang juga Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak 16 Jun lalu akibat jangkitan paru-paru dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Jenazah akan dikebumikan selepas solat Jumaat hari ini di Tanah Perkuburan Islam Klang Gates, Hulu Klang. 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2023 @ 12:31 PM