AZNIL membuat laporan polis mengenai tindakan sebuah kedai elektrik menggunakan namanya tanpa kebenaran. FOTO Instagram Aznil Nawawi
AZNIL membuat laporan polis mengenai tindakan sebuah kedai elektrik menggunakan namanya tanpa kebenaran. FOTO Instagram Aznil Nawawi
Ardini Sophia Sina


"SAYA tidak ada kena-mengena dengan kedai yang menjual alat elektrik itu," kata pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi atau Pak Nil, 57, mengulas isu namanya digunakan tanpa kebenaran dengan niat menipu orang ramai menerusi cabutan bertuah.

Menerusi Instagram TV (IGTV), Pak Nil menasihati orang ramai berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa penipuan.

"Terutama mereka yang berada di Kuching, saya dapat berita ada menggunakan nama Pak Nil tanpa kebenaran. Katanya sebuah kedai jual alat elektrik.

"Mereka akan minta orang lalu-lalang masuk dalam kedai dan buat cabutan bertuah dan ada hadiah percuma yang kononnya akan disampaikan oleh saya dalam sebuah majlis.

"Saya tiada kaitan dengan usaha mereka memerangkap orang yang dirasakan boleh ditipu dan akhirnya menyebabkan wang terbabit dikaut menerusi nombor atau kad bank," katanya.

Membuat laporan di Balai Polis Kota Samarahan, semalam, Pak Nil yang kebetulan berada di Sarawak bimbang kehadirannya itu akan menyebabkan orang ramai percaya dengan apa dikatakan oleh pihak kedai berkenaan.

"Saya dimaklumkan bahawa ada cabutan diadakan pada 31 Ogos nanti dan kebetulan saya berada di sini, nanti orang percaya pula memang ada cabutan pada tarikh berkenaan.

"Saya ke Kuching tidak ada kaitan dengan kedai elektrik berkenaan tetapi sebab menghadiri sebuah majlis.

"Jadi, berhati-hati dan kalau anda didekati oleh insan penipu ini, tolong buat laporan polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 6:24 PM