TANGKAP layar video tular menunjukkan seorang budak lelaki nyaris digilis kenderaan kerana dikejar anjing.
TANGKAP layar video tular menunjukkan seorang budak lelaki nyaris digilis kenderaan kerana dikejar anjing.
Muhamad Lokman Khairi


Manjung: Anjing yang mengejar seorang kanak-kanak lelaki sehingga menyebabkannya nyaris digilis kenderaan di di Jalan Haji Mohamad Ali, dekat Sitiawan, semalam, sudah ditangkap oleh Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

Jabatan Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam MPM dalam kenyataan berkata, Unit Haiwan Merayau, Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan mengambil tindakan demikian terhadap anjing berwarna putih terbabit selepas menerima rakaman video yang tular berhubung kejadian jam 9 pagi.

Menurutnya, tangkapan itu dilaksanakan berpandukan Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing (Majlis Daerah Manjung) 1993.

"Berdasarkan semakan dan siasatan, anjing itu mempunyai permit dari MPM serta mempunyai pemilik.

"MPM sudah menangkap tiga anjing termasuk anjing terbabit pada hari sama kerana pelanggaran syarat dan peraturan Undang-undang Kecil.

"Ini kerana pemilik gagal mengambil langkah yang munasabah untuk memastikan anjing tidak menyebabkan kacau ganggu kepada jirannya, salakan yang tidak berhenti henti atau selainnya.

"Ia juga gagal mengambil langkah yang munasabah untuk memastikan anjing itu tidak merayau di luar kawasan premis pemiliknya dan anjing itu berikat tali apabila dibawa keluar daripada premis pemiliknya," katanya, hari ini.

Katanya, anjing yang mengancam nyawa boleh diambil tindakan pelupusan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) berdasarkan Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772).

"MPM akan merujuk JPV untuk tindakan lanjut," katanya.

Semalam, tular video berdurasi 20 saat memaparkan dua kanak-kanak yang panik melarikan diri selepas dikejar seekor anjing.

Kejadian yang dirakam pengguna jalan raya itu memaparkan seorang daripada mereka berlari melintas jalan.

Malangnya kanak-kanak itu terjatuh menyebabkan sebuah kereta Proton Wira yang berada di lorong kanan terpaksa mengelak hingga terbabas menaiki pembahagi jalan.

Tindakan pantas pemandu berkenaan menyelamatkan kepala kanak-kanak itu daripada digilis kenderaan dipandunya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 7:49 PM