Nick Mikhail Razak
Nick Mikhail Razak

 

Kuala Lumpur: Bekas pelakon Singapura, Nick Mikhail Razak yang juga sahabat rapat penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz menasihati Aliff supaya 'keluar' dan selesaikan kemelut masalah yang kini sudah menjadi kontroversi tidak terbendung lagi dalam industri hiburan tanah air. 

Nick yang mendakwa sentiasa berada di belakang Aliff menasihatkannya supaya bersuara dan selesaikan isu terbabit sebelum menyesal di kemudian hari. 

"Kalau rasa hidup dengan Bella dah tak boleh, selesaikan. Keluar, uruskan penceraian. Kalau masih sayang, perjuangkan. Kalau tak boleh, cerai, jadi ibu bapa yang bagus. 

"Kalau dah kena gam di sini, tak boleh berlakon atau menyanyi, cari kerja. Jadi bertanggungjawab untuk anak. Jangan sampai orang cakap kau tak pandai jaga anak, tak nak bagi anak duit. Jangan sampai tahap itu. Anak itu amanah kau. 

"Semua orang buat salah. Ada orang 100 kali buat salah baru belajar. Kita buat salah, kita minta Maaf dan doa keampunan dengan Allah," katanya. 

Menurut Nick, dia juga bersimpati dengan nasib keluarga Aliff yang menjadi sasaran hinaan netizen. 

"Bila kau bergaduh dengan Bella, kau datang ke kedai aku dan luahkan perasaan kau. Kemudian aku ingat, kau berbaik semula. Aku gembira sangat. 

"Tak tahu kau ingat atau tak, aku cakap ini tiket (peluang) terakhir dan jangan bazirkan. Tapi, mungkin sebab itu kau mungkin rasa dimanjakan. Aku dah buktikan sentiasa ada untuk kau. Jadi, aku diam. 

"Bila aku diam, aku rasa sedih sebab bila benda ni jadi, aku masih ingat kau yang di usia 17 tahun, aku teringat muka mak kau, anak-anak kau. Bila aku fikir pasal keluarga kau dan orang hina kau, sedih," katanya. 

Tambahnya, hampir semua pihak kini sudah bersuara dan menunggu giliran Aliff.

"Seperti yang kau nampak, semua orang dah bersuara. Sarah, Bella, Ruhainies. Kau berdiam, aku tak tahu kenapa. Mungkin kau tunggu masa yang sesuai atau itu cara kau. 

"Kalau nasihat ini tak boleh diterima oleh kau, tak mengapa. Tapi, aku buat ini sebab aku rasa aku perlu bercakap. Aku harap kau keluar dan selesaikan," katanya. 

Dalam video sama, Nick yang juga suami kepada pempengaruh, King Coco berkongsi kisah kecurangan yang dilakukannya dalam perkahwinannya terdahulu. 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 8:49 PM