ASYRAF Wajdi bersalaman dengan perwakilan sebelum merasmikan Persidangan Berkelompok Tahunan Cawangan Umno Bahagian Tangga Batu di Stadium Hang Jebat, Krubong  hari ini. FOTO Amir Mamat.
ASYRAF Wajdi bersalaman dengan perwakilan sebelum merasmikan Persidangan Berkelompok Tahunan Cawangan Umno Bahagian Tangga Batu di Stadium Hang Jebat, Krubong hari ini. FOTO Amir Mamat.
Amir Mamat


Melaka: Umno akan membincangkan kedudukan bekas Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang dikatakan sudah mengemukakan borang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), minggu depan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata perkara itu akan dibincangkan bersama Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas aduan rasmi daripada Umno bahagian Tangga Batu diperoleh, baru-baru ini.

Katanya, menerusi aduan berkenaan, bahagian berkenaan turut mengemukakan beberapa bukti Mohamad Ali sudah menjadi ahli Bersatu.

"Kita akan bincang pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) minggu depan dan jika terbukti dia sudah menjadi ahli Bersatu, maka keahliannya (dalam Umno) akan tergugur.

"Ia berdasarkan Perlembagaan parti Fasal 20 iaitu mana-mana ahli parti yang menjadi ahli berdaftar bagi politik lain maka keahliannya gugur selepas disahkan oleh MT," katanya ditemui selepas merasmikan Persidangan Berkelompok Tahunan Cawangan Umno Bahagian Tangga Batu di Stadium Hang Jebat, Krubong di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri merangkap Ketua Umno Bahagian Tangga Batu, Datuk Rais Yasin.

Baru-baru ini, bekas Ketua Menteri Melaka yang juga Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Tan Sri Rahim Tamby Chik mengesahkan Mohamad Ali sudah mendaftar menjadi ahli Bersatu pada 12 April lalu.

Rahim dilaporkan berkata, Mohamad Ali yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu didakwa merancang untuk membuka lebih 20 cawangan parti pembangkang itu di Tangga Batu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Pada pemilihan UMNO bahagian 18 Mac tahun lalu, Mohamad Ali, bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara kalah dengan majoriti empat undi apabila memperoleh 278 undi, manakala Rais mendapat 282 undi dalam pertandingan dua penjuru itu.

Ahmad Zahid kemudiannya mengesahkan keabsahan kemenangan Rais selepas ada laporan menyebut kemenangan ADUN Paya Rumput itu sebagai Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu pada pemilihan terbabit dibatalkan Jawatankuasa Bantahan Pemilihan Umno Malaysia 2023.

Sementara itu Rais mengesahkan Umno Bahagian Tangga Batu sudah membuat aduan rasmi berhubung tindakan Mohamad Ali menyertai Bersatu.

"Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Tangga Batu yang bermesyuarat baru-baru ini sebulat suara membuat keputusan untuk mengemukakan aduan rasmi

kepada Ibu Pejabat Umno," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 9:40 PM