KEDAI Pak Nil untuk mangsa banjir.
KEDAI Pak Nil untuk mangsa banjir.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pengacara terkenal Datuk Aznil Nawawi mewujudkan Kedai Percuma Pak Nil di Bukit Changgang, Banting, Selangor sejak 30 Disember lalu.

Aznil atau mesra disapa Pak Nil berkata, idea itu tercetus apabila dia menjalankan kerja mengumpul golongan sukarelawan bagi membantu penduduk di kawasan itu membina semula hidup baru dan menyalurkan bantuan akibat banjir yang melanda.

"Sebelum ke sana saya sebenarnya dihubungi oleh salah seorang pengikut di Instagram berkongsi ceritanya mengenai kemusnahan daerah itu akibat banjir. Malah, ketika pergi ke kawasan itu, saya lihat ramai penduduk ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tinggal sehelai sepinggang.

"Jadi, ia bermula dengan hanya makanan yang dimasak penduduk kampung secara rewang bermodalkan wang sumbangan yang saya kutip dalam kalangan pengikut media sosial saya. Ketika itu dalam sehari kami berjaya menyediakan hampir 1,000 bungkusan makanan kepada mangsa banjir.

"Selepas banjir surut, mereka mula bergerak pulang ke rumah masing masing. Ketika itu mereka terpaksa mengumpul barang semula dan membaik pulih rumah mereka. Malah barang keperluan asas mereka tiada langsung. Dari situ saya fikir kenapa tidak diwujudkan kedai percuma ini," katanya.

Menurut Pak Nil, sebagai permulaan dia menghubungi syarikat yang pernah bekerjasama dengannya seperti jenama Eskayvie dan Nakada.

"Pihak jenama itu bermurah hati untuk menghantar barang keperluan asas seperti minyak, telur, air mineral, sardin, selimut, bantal, lampin pakai buang dan sebagainya. Timbul idea juga untuk mengumpul belian barang asas ini menerusi wang sumbangan orang ramai. Saya beli sendiri barangan itu menggunakan wang sumbangan diberikan.

"Ia kemudiannya diletakkan di sebuah kedai di kawasan berkenaan yang diberi nama Kedai Percuma Pak Nil. Kedai ini mengalu-alukan barangan keperluan yang boleh dihantar terus ke sana atau menyalurkan wang sumbangan ke akaun saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 1:46 PM