BOMBA menjalankan siasatan susulan kebakaran pejabat MBKT di kawasan parkir berhampiran Pasar Besar Kedai Payang. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
BOMBA menjalankan siasatan susulan kebakaran pejabat MBKT di kawasan parkir berhampiran Pasar Besar Kedai Payang. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tidak menolak kemungkinan kebakaran yang berlaku di pejabat Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di kawasan parkir berhampiran Pasar Besar Kedai Payang di sini hari ini dipercayai akibat perbuatan khianat.

Kejadian yang dipercayai berlaku jam 1 tengah hari itu menyebabkan pejabat yang menempatkan resit dan kompaun itu terbakar kira-kira 40 peratus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu Rozizah Abni Hajar berkata, seramai 17 pegawai dan anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan jam 1.13 tengah hari.

Beliau berkata, api merebak dengan cepat memandangkan bilik berkenaan menempatkan salinan resit dan kompaun.

"Kita berjaya mengawal api daripada terus merebak dengan api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira satu jam kemudian.

"Ketika kejadian, tiada mangsa di lokasi berkenaan memandangkan pejabat berkenaan yang berada di tingkat empat tidak lagi digunakan sejak Disember 2022," katanya.

Rozizah berkata, pihaknya terpaksa menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu memandangkan pejabat berkenaan berkunci.

Katanya, jumlah kerugian serta punca kejadian masih dalam siasatan.

"Punca kejadian masih dalam siasatan, mungkin (berpunca) perbuatan khianat tetapi akan disahkan berdasarkan kesan-kesan kebakaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 7:59 PM