Datuk Aznil Nawawi
Datuk Aznil Nawawi
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pengacara popular Datuk Aznil Nawawi menegur segelintir individu yang memiliki kekayaan luar biasa namun mendiamkan diri ketika rakyat memerlukan bantuan akibat dilanda musibah banjir, baru-baru ini.

Aznil atau mesra disapa Pak Nil berkata, dia hairan mengapa golongan seperti ini lebih gemar menunjuk kekayaan dan kemewahan di media sosial berbanding berkongsi aktiviti kemanusiaan.

"Ketika bencana banjir baru-baru ini, di mana orang-orang kaya yang sebelum ini tunjuk duit berkepuk-kepuk sehingga ada yang sanggup baling duit. Belum lagi yang tunjuk gelang emas tebal di media sosial. Di manakah mereka?

"Kalau ditanya mungkin mereka akan memberikan alasan melakukan perkara sedekah atau kebajikan secara senyap atau tidak mahu menunjuk-nunjuk. Kalau begitu, kenapa bila tunjuk duit atau gelang emas tidak melakukan hal yang sama?

"Kenapa tidak seimbangkan kerakusan menunjuk duit yang tebal serta bantuan yang dihulurkan secara sama rata," katanya.

Menurut Aznil, dia sedar bahawa amalan bersedekah ini tidak boleh dipaksa-paksa namun dia berharap golongan ini sedar akan perbuatan mereka.

"Saya tahu benda berkaitan amal jariah ini tidak boleh dipaksa-paksa sebaliknya perlu datang daripada hati dan diri sendiri. Saya menegur bukan sebab saya dengki tapi saya sayangkan mereka dan sudah anggap seperti adik-adik saya. Jadi setiap kali mereka dikritik saya sangat terasa dan kasihan," katanya.

Terdahulu, Aznil mewujudkan Kedai Percuma Pak Nil di Bukit Changgang, Banting, Selangor sejak 30 Disember lalu.

Aznil berkata, idea itu tercetus apabila dia menjalankan kerja mengumpul golongan sukarelawan bagi membantu penduduk di kawasan itu membina semula hidup baru dan menyalurkan bantuan akibat banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 4:43 PM