Artis terpaksa menutup hidung kerana tidak selesa dengan bau najis.
Artis terpaksa menutup hidung kerana tidak selesa dengan bau najis.
Agensi

Seoul: Acara 31st Hanteo Music Awards yang berlangsung di Dongdaemun Design Plaza kelmarin dicemari dengan bau najis menyebabkan rata-rata artis yang hadir tidak selesa sepanjang majlis.

Hal itu tular di media sosial di mana insiden itu didakwa berlaku selepas seorang penonton gagal menahan untuk membuang air besar menyebabkannya terberak di seluar.

Turut tersebar adalah beberapa foto artis yang menunjukkan rasa tidak selesa sambil menutup hidung disebabkan bau itu. Ada artis yang turut membuat ucapan juga hampir tersedak.

Susulan itu, seorang individu tampil mengaku dirinya adalah penonton yang dimaksudkan dan memohon maaf kerana mencetuskan kekecohan itu.

"Saya sedar ramai berdepan kesulitan disebabkan saya. Maaf atas kesulitan yang memberi kesan kepada ramai orang. Saya akan bermuhasabah diri terhadap apa yang terjadi hari ini (kelmarin).

"Maaf sekali lagi. Kalau ada calitan (najis) yang tertinggal pada pakaian kamu, mohon hubungi saya menerusi mesej. Saya akan kirim kamu upah membayar cucian baju," katanya dalam sebuah ciapan.

Bagaimanapun, tidak dipastikan sama ada ciapan itu dibuat pelaku sebenarnya ataupun cuma dibuat sekadar gurauan.

Individu yang hadir sebagai peminat terbabit dikatakan terberak pada pertengahan acara. Ia mengejutkan bukan saja artis bahkan semua yang berada di sana.

Kebetulan, individu terbabit juga dikatakan berdiri berhampiran dengan tempat duduk artis. 

Lebih mengejutkan, cebisan najisnya dikatakan berselerak sehingga terkena pakaian, kasut, dan barangan peribadi penonton yang berdekatannya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 11:45 AM