TANABALAN ketika tiba di Arab Saudi.
TANABALAN ketika tiba di Arab Saudi.
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: "Saya tak sangka akhirnya dapat menjejakkan kaki ke bumi Madinah dan berbangga menjadi orang bukan Islam pertama yang ke sini dengan motosikal dari Malaysia," kata P Tanabalan yang melakukan kembara ke Arab Saudi.

Lelaki berbangsa India berusia 37 tahun itu tiba di Arab Saudi pada 2 petang (waktu Arab Saudi), semalam dengan menunggang motosikal Honda RS 150cc.

Dia melengkapkan tunggangan motosikal dari Malaysia ke Arab Saudi dengan sudah merentasi beberapa negara antaranya Thailand, Laos, China, Nepal, Pakistan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum tiba di bumi anbiya itu dalam masa 40 hari.

Menurutnya, dia menunggang motosikal dari Malaysia bersama beberapa rakan yang menaiki kenderaan masing-masing seperti kereta dan motosikal, namun bergerak solo bermula di Kathmandu, Nepal untuk ke Arab Saudi.

"Saya bergerak secara berkumpulan sehingga di China saja dan bermula di Nepal menunggang solo hingga ke Arab Saudi kerana kumpulan motosikal lain mahu ke Leh Ladakh (India) Dan Karachi (Pakistan), manakala saya memang sasar (terus) ke Madinah (tanpa singgah di lokasi lain dahulu).

"Saya akan berada di sini selama empat hari tiga malam dan saya sudah melihat masjid (Madinah walaupun tidak masuk dan hanya berada di kawasan bandar, melihat dari luar)," kata kakitangan sektor swasta itu ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, pengalaman pertama kali di Madinah dan melihat bangunan serta budaya orang di sana ia memberikan 1001 pengalaman dan merasakan bangunan di kawasan itu juga cantik, unik dan mempunyai nostalgia yang menawan.

"Saya rasa gembira kerana berjaya dalam misi ini dengan selamat biarpun ia mempunyai pelbagai kenangan dan memori tidak akan dilupakan terutama menunggang motosikal dalam (cuaca sejuk bersuhu) -6 darjah celcius di China dan Tibet ketika dalam perjalanan ke Madinah," katanya.

Tanabalan berkata, selepas dia akan menunggang motosikal ke Kuwait untuk bertemu abang saudaranya yang ketika ini bekerja dan menetap di kawasan berkenaan dan merancang untuk menunggang motosikal ke London pula selepas ini.

"Abang saudara juga sudah bersedia menunggu saya di sana dan saya merancang akan meletakkan motosikal di rumahnya untuk pulang ke Malaysia dahulu. Selepas tiga bulan saya akan sambung 'ride' dari Kuwait ke London," katanya.

Harian Metro sebelum ini menyiarkan kisah Tanabalan yang tidak memandang perbezaan agama untuk menyertai misi kembara ke Arab Saudi yang bermula pada 20 Mac lalu.

Dia suka melihat dunia luar termasuk budaya dan tempat ibadah agama lain sebagai pengalaman hidup serta menambah ilmu pengetahuan selain mengakui dia memahami statusnya dan menghormati peraturan di tempat suci orang Islam itu.

Beberapa rakan lain misi kembara itu akan menunaikan ibadah umrah dan ada yang akan melakukan haji tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 10:16 PM