AKSI pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia ketika menentang pemain Algeria Adel Hamek dalam saingan Kumpulan D pada Kejohanan Badminton Piala Thomas 2024 di Pusat Sukan Chengdu High-tech Zone hari ini. FOTO BERNAMA
AKSI pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia ketika menentang pemain Algeria Adel Hamek dalam saingan Kumpulan D pada Kejohanan Badminton Piala Thomas 2024 di Pusat Sukan Chengdu High-tech Zone hari ini. FOTO BERNAMA
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Seperti dijangka skuad Piala Thomas negara tidak berdepan masalah untuk mencatatkan kemenangan 5-0 mengatasi Algeria pada aksi kedua Kumpulan D sebentar tadi.

Kemenangan itu memastikan Malaysia kini mengesahkan tempat ke suku akhir saingan yang berlangsung di Chengdu, China itu.

Turun selaku perseorangan pertama, pemain profesional negara, Lee Zii Jia menghadiahkan mata pertama negara apabila hanya memerlukan 26 minit untuk menewaskan Adel Hamek 21-8, 21-6.

Manakala Cheam June Wei diberi kepercayaan turun pada perlawanan kedua juga tidak berdepan masalah menjinakkan lawan Youcef Sabri Medel 21-9, 21-14.

Rentak kemenangan negara diteruskan beregu lelaki, Choon Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri apabila menewaskan gandingan Sifeddine Larbaoui-Mohamed Abdelaziz Ouchfoun 21-8, 21-3 dalam tempoh 17 minit.

Beraksi di Gimnasium Pusat Sukan Zon Hi-Tech mata keempat negara diraih oleh Justin Hoh yang menundukkan pemain di ranking ke-353 dunia, Mohamed Abderrahime Belarbi 21-10, 21-14.

Nur Izzuddin Rumsani yang kali ini digandingkan bersama Soh Wooi Yik memuktamadkan kemenangan 5-0 negara selepas mencatat kemenangan ke atas Koceila Mammeri-Youcef Sabri Medel 21-13, 21-9.

Malaysia selepas ini akan melengkapkan pertarungan Kumpulan D menentang juara 2016 Denmark, Selasa ini bagi menentu juara kumpulan.

Semalam, Malaysia membuka tirai saingan kumpulan dengan kemenangan 5-0 ke atas Hong Kong manakala Denmark turut mengatasi Algeria dengan keputusan sama.

Untuk rekod, pada kempen dua tahun lalu di Bangkok, Malaysia menamatkan saingan di suku akhir apabila tewas di tangan juara edisi berkenaan, India 2-3.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 9:20 PM