IKMAL Hisham (kanan) ketika menerima watikah pelantikan daripada Muhyiddin (kiri) pada Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat dan Pelancaran Jentera PN Peringkat Kelantan, 1 Julai lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
IKMAL Hisham (kanan) ketika menerima watikah pelantikan daripada Muhyiddin (kiri) pada Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat dan Pelancaran Jentera PN Peringkat Kelantan, 1 Julai lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abd Aziz menafikan dakwaan berlaku pemberian jam tangan jenama Casio G-Shock dan payung yang menyumbang kepada kehadiran orang ramai pada program pelancaran Perikatan Nasional (PN) Kelantan, Sabtu lalu.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata, kehadiran orang ramai ke majlis berkenaan kerana pihaknya sudah menguar-uarkan program terbabit yang akan dirasmikan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin seminggu sebelum majlis berkenaan.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya pemberian jam tangan atau payung sebagaimana yang didakwa sebuah portal.

"Pada hari berkenaan, saya mengumumkan sekali lagi akan berlangsung majlis pelancaran itu, terserah kepada orang ramai yang hadir di mesyuarat berkelompok Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di bawah Pejabat Pendidikan Daerah Tanah Merah di lokasi yang sama untuk menghadiri pelancaran berkenaan atau pulang.

"Bagaimanapun orang ramai tidak berganjak, malah lebih ramai yang datang. Kehadiran mereka adalah secara sukarela dan bukannya terdapat pemberian jam tangan G-Shock atau payung seperti mana didakwa," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menjelaskan mengenai hadiah cabutan bertuah, Ikmal Hisham yang juga pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, dalam banyak program membabitkan rakyat kebiasaannya, ada acara seumpama itu bagi memeriahkan majlis.

Namun, katanya, perlu difahami jika program atau penganjurnya tidak disukai oleh rakyat, betapa besar pun hadiah yang disediakan orang ramai tetap tidak akan hadir.

"Sehubungan itu saya mempelawa mana-mana pihak yang menganjurkan apa-apa majlis di Tanah Merah dengan menawarkan hadiah cabutan bertuah lebih hebat bagi membuktikan sama ada mereka mampu atau tidak menarik kehadiran lebih 30,000 orang.

"Saya turut kesal dengan tohmahan mengatakan orang ramai diberi jam

tangan G-Shock yang saya fikir tidak munasabah kerana ia pastinya membabitkan kos cukup besar mencecah berbelas-belas juta ringgit jika mahu diberikan sebagai cenderahati kepada lebih 30,000 pengunjung.

"Saya juga mencabar pihak yang membuat tuduhan supaya mengemukakan bukti mana-mana individu yang menerima jam tangan atau payung ketika hadir," katanya.

Beliau percaya kehadiran yang dianggarkan 30,000 orang itu adalah bagi menghargai Tan Sri Muhyiddin yang banyak jasanya kepada rakyat ketika menguruskan pandemik Covid-19 semasa menjadi Perdana Menteri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 4:53 PM