ZAIDI teruja bergambar dengan sekumpulan pelanggan yang datang ke restorannya dengan menaiki helikopter.  FOTO Ihsan FB Zaidi Hassan
ZAIDI teruja bergambar dengan sekumpulan pelanggan yang datang ke restorannya dengan menaiki helikopter. FOTO Ihsan FB Zaidi Hassan
Hamzah Osman


Langkawi: Seorang pemilik restoran menerima kejutan apabila didatangi pelanggan yang menaiki helikopter untuk menikmati makan tengah hari di premisnya di sini, hari ini.

Zaidi Hassan, 40, berkata, pada mulanya dia terkejut dan ketawa apabila menerima panggilan telefon daripada pelanggan tidak dikenali yang memaklumkan ingin ke restorannya dengan menaiki helikopter.

Diaa mengusahakan restoran makanan tradisional Melayu itu sejak dua tahun lalu menerima panggilan jam 1.35 tengah hari.

"Mulanya, saya ingat ada rakan yang mahu bergurau, dia (pelanggan) bagi tahu nak makan tengah hari menu set talam yang popular di restoran saya dengan beberapa individu lain menaiki helikopter.

"Saya tanya balik serius ke tempahan ni? Pelanggan tu jawab tunggu 15 minit lagi saya sampai dan turut bertanya sama ada ada tempat lapang untuk mendarat berhampiran restoran," katanya ketika dihubungi di sini.

Zaidi berkata, dalam tempoh 20 minit kemudian dia mendengar bunyi helikopter terbang rendah dan bunyi enjinnya semakin kuat serta menghala ke kawasan lapang berhampiran restorannya.

"Helikopter yang saya tidak pasti jenisnya itu mendarat di kawasan tanah lapang yang baru ditambak tanah merah kira-kira 20 meter dari restoran saya pada 2 petang.

"Terdapat enam individu yang tiba menaiki helikopter, manakala 10 hingga 15 individu yang lain tiba dengan kereta hampir serentak," katanya.

Beliau berkata, pelanggan itu menikmati set talam yang mengandungi kari ikan, udang sambal petai, ikan bakar, ulam-ulaman dan sambal belacan serta minuman.

"Mereka berada di restoran saya kira-kira sejam, sebelum kesemuanya berlepas pulang, malah saya tidak mengenali semua individu berkenaan.

"Saya juga tidak pasti dan tidak bertanya mereka datang dari mana? Namun ada mendengar seorang daripada mereka dipanggil dengan gelaran 'datuk'," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, ketika dihubungi berkata pihaknya dimaklumkan pendaratan helikopter berhampiran sebuah restoran di sini, hari ini. dalam pengetahuan dan kebenaran Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Terdahulu, Zaidi berkongsi keterujaannya menerima pelanggan istimewa itu dengan memuat naik video berdurasi 1 minit 33 saat di laman Facebook miliknya, petang ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 8:11 PM