PEMAIN Barcelona  susun strategi jumpa Vigo.
PEMAIN Barcelona susun strategi jumpa Vigo.
Agensi

Barcelona: Sebuah pasukan dari Galicia di barat laut Sepanyol hangat diperkatakan musim ini kerana menampilkan corak permainan menyerang hingga membolehkan mereka mengumpul 10 dari 12 mata ditawarkan.

“Mereka antara pasukan yang paling menarik minat peminat, bukan hanya di Sepanyol tapi juga di Eropah. Tidak kira siapa lawan, mereka bermain dengan rentak sama. Pemain mereka mempunyai mentaliti untuk menyerang tanpa mempedulikan apa-apa.”

Itulah pandangan Luis Enrique terhadap bekas pasukannya itu menjelang kunjungan Barcelona ke Celta Vigo di Balaídos, Jumaat ini.

Selepas awal musim yang menyaksikan Barcelona menang semua empat perlawanan, Enrique mengimpikan untuk meneruskan catatan itu dengan kemenangan kelima tetapi sedar impian itu bukan mudah dilaksanakan.

Celta yang dibimbing Eduardo Berizzo bakal bertemu Barca dalam usaha untuk mengukuhkan kedudukan ke Liga Juara-Juara dan muncul antara pasukan paling berjaya setakat ini.

Jurulatih Argentina itu mengamalkan corak permainan menyerang dan anak buahnya kelihatan gembira dengan rentak sebegitu. Beliau turut mengamalkan hantaran pantas yang terbukti berkesan hingga membolehkan mereka menduduki kelompok teratas La Liga setakat ini.

Sepanjang empat perlawanan, corak diamalkan itu membolehkan mereka mengumpul 10 mata.

Mereka menang ke atas Levante, Rayo dan Sevilla sambil turut mencuri mata ketika bertemu Las Palmas.

Skuad kendalian Berizzo itu melakar rekod bersih ketika bertemu Rayo, melepaskan hanya satu gol pada pertemuan menentang Levante dan Sevilla tetapi terlepas tiga gol ketika seri dengan Las Palmas.

Paling mengejutkan, Celta berjaya meledak jaringan sepanjang 13 perlawanan liga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2015 @ 8:29 AM