LACAZETTE bersorak selepas menjaringkan gol yang membantu Lyon menang 3-2 ke atas Monaco, awal pagi tadi.
LACAZETTE bersorak selepas menjaringkan gol yang membantu Lyon menang 3-2 ke atas Monaco, awal pagi tadi.
AFP

Paris: Paris Saint-Germain (PSG) dinobatkan sebagai juara Ligue 1 tanpa bermain selepas pencabar terdekat, Monaco tewas 2-3 di tangan Lyon, awal pagi tadi.

Kekalahan Monaco itu menyaksikan PSG di tangga teratas liga dengan kelebihan 12 mata ketika berbaki tiga lagi perlawanan, sekali gus membolehkan mereka melebarkan rekod sebagai juara Perancis kali ke-12.

PSG sepatutnya disahkan sebagai juara jika menang di tempat sendiri ke atas pasukan sedang bergelut, Le Havre, Sabtu lalu, tetapi mereka memerlukan jaringan penyamaan pada minit ke-95 untuk seri 3-3.

Bagaimanapun selepas perlawanan, pengendali PSG, Luis Enrique menegaskan pasukannya sudah muncul juara tanpa keraguan kerana mereka memiliki kelebihan 12 mata sedangkan 12 mata turut menjadi pertaruhan, selain memiliki perbezaan jaringan besar berbanding Monaco.

Kekalahan Monaco di tangan Lyon mengesahkan kejuaraan PSG secara rasmi, sebelum mereka bertandang ke Borussia Dortmund di Jerman untuk aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada awal pagi Khamis.

Monaco berada di depan pada awal perlawanan di Lyon menerusi jaringan a Wissam Ben Yedder, tetapi Alexandre Lacazette menyamakan kedudukan untuk skuad tuan rumah sebelum Said Benrahma meletakkan mereka di depan selepas sejam perlawanan.

Ben Yedder sekali lagi menjaringkan gol untuk menyamakan kedudukan 2-2, tetapi pemain gantian, Malick Fofana menyumbat gol lewat untuk kemenangan Lyon, yang masih membur slot bersaing di Eropah.

PSG menang 10 daripada 12 gelaran dalam 12 musim terakhir, satu rekod yang menunjukkan kekuatan serta perubahan kelab itu sejak diambil alih pemilih dari Qatar pada 2011.

Mereka berada pada landasan tepat untuk menyapu bersih trofi musim ini apabila beraksi di final Piala Perancis menentang Lyon pada 25 Mei selepas merangkul Trofi Juara Perancis, sebeum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 8:55 AM