FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Washington: Seorang guru menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menduplikasikan suara pengetua di sekolahnya dan menyebarkan fitnah audio kononnya pengetua itu memperkatakan perihal perkauman dan antisemitik dalam kalangan guru dan pelajar.

NPR melaporkan Dazhon Darien didakwa menggunakan rangkaian Sekolah Awam Daerah Baltimore untuk mengakses alat OpenAI dan Microsoft Bing Chat, sebelum fail audio viral Pengetua Sekolah Tinggi Pikesville di Maryland, Eric Eiswert, tersebar di media sosial untuk membuatkan bosnya itu kelihatan bersikap rasis.

Ketua Polis Daerah Baltimore Robert McCullough berkata, pihaknya mempunyai bukti konklusif bahawa rakaman itu tidak sahih.

"Ia telah ditentukan bahawa rakaman itu dihasilkan melalui penggunaan teknologi kecerdasan buatan," katanya kepada media.

Dazhon Darien, 31, ditahan pada Khamis atas tuduhan menghendap, mencuri, mengganggu operasi sekolah dan membalas dendam terhadap saksi selepas siasatan selama berbulan-bulan daripada Jabatan Polis Daerah Baltimore.

Mengulas kes itu, Hany Farid seorang profesor di University of California, Berkeley, yang pakar dalam forensik digital berkata, ia menekankan potensi serius untuk penyalahgunaan kecerdasan buatan secara jenayah yang telah diberi amaran oleh pakar sejak sekian lama.

"Saya membantu menganalisis rakaman itu untuk polis. Polis Daerah Baltimore juga berunding dengan penganalisis dan pakar lain di Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

"Kesimpulannya ialah rakaman suara itu mencurigakan dan tidak mungkin sahih. Dengan hanya beberapa dolar, sesiapa sahaja boleh memanfaatkan kecerdasan buatan untuk membuat audio dan visual palsu.

"Apa yang sangat menyedihkan di sini ialah mangsa adalah pengetua sekolah Baltimore. Bukan Taylor Swift, bukan Joe Biden, bukan Elon Musk. Hanya seorang lelaki biasa yang cuba menjalani hari-harinya dengan sederhana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 9:28 AM