BERNAMA

Riyadh: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam, menyatakan keyakinan terhadap Bank Pembangunan Islam (IsDB) yang akan terus memainkan peranan penting dalam menangani isu ketidaksamaan dan marginalisasi, terutamanya dalam kalangan umat Islam.

Beliau berkata, bank itu mempunyai peranan untuk menangani isu ketidakadilan, ketidaksamaan dan marginalisasi terutamanya dalam kalangan umat Islam.

"Umat Islam masih kumpulan terbesar dari segi jumlah kawasan yang dilanda kemiskinan yang diabaikan.

"Saya fikir, selain daripada usaha oleh kebanyakan kerajaan dan badan antarabangsa kita, IsDB mempunyai peranan penting untuk menangani isu ini.

"Malah, apabila kita melihat harapan untuk penyelesaian yang baik terhadap konflik di Gaza selepas berhadapan kekejaman oleh rejim Israel," kata beliau dalam ucapan pada sambutan Jubli Emas IsDB di sini.

Anwar berkata, apabila isu ini dapat diselesaikan, IsDB akan dilihat sebagai pemain yang mengagumkan, bersama-sama dengan kerajaan yang mencuba memulihkan ekonominya.

Malaysia menyertai IsDB pada 12 Ogos 1974 dan mempunyai langganan modal sebanyak 1.55 peratus bernilai ID868.18 juta (dinar Islam) atau bersamaan dengan satu hak cabutan khas Tabung Kewangan Antarabangsa.

Selain itu, IsDB juga membiayai 166 projek di Malaysia yang bernilai AS$963.2 juta dengan sejumlah 160 projek (AS$945.8 juta) siap, manakala enam lagi projek (AS$17.4 juta) sedang dilaksanakan.

Anwar berada di ibu negara Arab Saudi itu selama dua hari mulai Ahad bagi mengetuai delegasi Malaysia untuk meninjau pelbagai peluang ekonomi dan menarik pelaburan baharu di Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF).

Beliau turut dijemput untuk menghadiri sambutan Jubli Emas IsDB.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 7:42 AM
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi Dialog Strategi Negara mengenai Malaysia  bersama lebih 50 pemimpin industri dunia bagi mengetengahkan peluang ekonomi yang boleh dimanfaatkan di Malaysia pada Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) . FOTO BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi Dialog Strategi Negara mengenai Malaysia bersama lebih 50 pemimpin industri dunia bagi mengetengahkan peluang ekonomi yang boleh dimanfaatkan di Malaysia pada Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) . FOTO BERNAMA