SOLEKAN semula jadi lebih sesuai untuk pergi beraya.
SOLEKAN semula jadi lebih sesuai untuk pergi beraya.
Nurul Husna Mahmud


Tidak lengkap rasanya jika seseorang wanita itu tidak mengenakan sebarang solekan atau mendandan diri ketika musim perayaan dan rumah terbuka.

Jika dahulu, trend solekan atau merias wajah biasanya mengikut tona warna atau tema baju raya digayakan.

Andai baju digayakan individu terbabit adalah ungu, pilihan warna solekan terutama perincian mata juga senada mengikut warna baju.

Menurut jurusolek profesional, Muhammad Fitri Madilah atau lebih dikenali dengan panggilan 'Make up Artist' (MUA) Finnick, konsep atau trend solekan terkini termasuklah di musim perayaan atau rumah terbuka ialah minimalis atau gaya semula jadi.

"Tidak dinafikan trend solekan sedondon dengan warna baju pernah popular tetapi gaya itu sudah beralih kepada 'look' solekan muka yang tampak semula jadi atau natural sejak dua tiga tahun kebelakangan ini.

PERLU persiapkan muka sebelum mula mengenakan solekan.
PERLU persiapkan muka sebelum mula mengenakan solekan.

"Saya berpendapat antara menyumbang kepada peralihan gaya ini dipengaruhi perkongsian selebriti tempatan, Janna Nick yang mengenakan solekan jurusolek terkenal dari Thailand, Babara Beer ketika hari perkahwinannya.

"Hasil solekan jurusolek itu juga yang pernah menata rias wajah Yang Amat Mulia Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim ini sentiasa tampil dengan hasil solekan tampak semula jadi selain efek 'glass skin' membuatkan pemakainya sentiasa kelihatan berseri.

"Untuk gaya solekan tahun ini terutama ketika musim perayaan dan rumah terbuka, ramai wanita selesa memilih solekan yang tidak terlalu berat dan lebih minimalis," katanya.

Pendapat MUA berusia 28 tahun itu, gaya solekan minimalis atau semula jadi itu memberi kelebihan dari segi menonjolkan lagi rupa atau rias wajah tanpa menjejaskan penampilan keseluruhan.

"Jika mengenakan tona warna solekan sedondon dengan baju, kebimbangan saya ialah solekan sedemikian boleh menyebabkan seri atau solekan itu tenggelam.

BEDAK halus dan kompak dugunakan seimbangkan atau perbetulkan tona solekan mata.
BEDAK halus dan kompak dugunakan seimbangkan atau perbetulkan tona solekan mata.

"Berbanding menggunakan warna semula jadi contohnya menggandingkan tona warna perang dengan tona warna baju, ia membantu menonjolkan bahagian solekan wajah.

"Kontra antara tona solekan dan tona warna baju akan menaikkan lagi seri wajah terutama jika individu itu merakam foto raya untuk tatapan kenalan jauh atau dekat dalam media sosial mereka," katanya.

MUA Finnick yang berpengalaman lebih 10 tahun itu juga memulakan karier seawal usianya 15 tahun berkata, solekan selain dirujuk pada baju haruslah juga melihat kepada kesesuaian majlis.

"Solekan minimalis lebih menyenangkan apabila dipandang. Mengenakan solekan gaya ini sangat sesuai di musim perayaan yang mana kita akan berkunjung sanak-saudara atau menyantuni golongan lebih tua.

"Malah solekan dengan visual lebih semula jadi sangat membantu dalam membuatkan penampilan atau imej wanita itu lebih mudah untuk didekati kerana tona yang lebih lembut.

"Jika mahu solekan berlebihan atau tampak lebih glamor, rasanya ke majlis rumah terbuka dianjurkan korporat atau diadakan di dalam dewan dengan tema tertentu mahupun acara makan malam adalah lebih sesuai," katanya.

Gaya atau personaliti dalam solekan digunakan jurusolek itu lebih popular dengan kemasan cantik pada tata rias mata terutamanya bahagian kening.

"Saya cukup dikenali dengan kelebihan merias pada bahagian mata. Bahagian ini paling rumit bagi kebanyakan mereka yang bersolek termasuklah jurusolek terkenal.

"Pembentukan kening atau solekan bahagian mata itu menentukan bahagian paling kritikal untuk ekspresi visual wajah mereka apabila siap disolek.

MUA Finnick berpengalaman lebih 13 tahun dalam solekan.
MUA Finnick berpengalaman lebih 13 tahun dalam solekan.

"Setiap individu, bentuk keningnya berbeza dan mengimbangi solekan pada kening terutama mempunyai jurang jauh segi kedudukan dan perbezaan bentuknya adalah paling mencabar.

"Teknik saya, daripada berlebihan membentuk atau melukis kening, saya akan rapikan dulu bulu kening dengan berus untuk selarikan atau bentukkan bulu kening secara semula jadi.

"jika bentuk keningnya kelihatan seperti 'jatuh,' saya akan cuba lukis alur kening menaik sedikit untuk elak ekspresi wajah sedih terhasil selepas solekan," katanya.

Solekan mata selalunya selepas pemakaian bedak ringan atau 'loose powder' untuk kemasan akhir.

Terdapat beberapa teknik dikongsikan MUA Finnick bagi memastikan solekan mata seimbang dan tampak semula jadi:

1. Pemakaian pembayang mata

Penggunaan warna semula jadi bersama pastel membantu memberi tona solekan lebih lembut.

Pemakaian pembayang mata pada kelopak mata, perlu mulakan dengan tona gelap ke cerah iaitu penggunaan warna perang sebelum digandingkan dengan warna jingga 'senja.' Sebaiknya 'blend' atau adunkan dua tona ini supaya lebih 'mesra.'

2. Pemakaian celak dan bulu mata

Kaedah mengenakan celak mata dan bulu mata disarankan MUA Finnick antara terpantas kerana hanya mengenakan sebahagian sahaja garisan dalam mata bermula dari paling hampir pangkal hidung ke pertengahan mata sahaja.

Kemudian bulu dipakai dan barulah celak dipakai semula pada hujung mata. Cara ini membantu pemakaian celak lebih kemas selain menjimatkan masa.

Tip penting juga dikongsikan jurusolek terbabit untuk hasilkan garisan celak mata lancar dan lebih kemas, baik pemakai mahupun jurusolek perlu menahan nafas ketika mengenakan alat solek itu.

Malah tips yang sama juga digunakan jika pemakai celak jenis matanya mudah berair dan lebih sensitif.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 7:00 AM