BERIZZO puas hati dengan aksi dipamerkan anak buahnya. -Foto AFP
BERIZZO puas hati dengan aksi dipamerkan anak buahnya. -Foto AFP
Reuters

BARCELONA: Jurulatih Sevilla, Eduardo Berizzo yang mengendalikan perlawanan pertamanya sejak menjalani pembedahan merawat kanser prostat diraikan penuh meriah penyokong di Sanchez Pizjuan sebelum skuad kendaliannya seri 0-0 menentang Levante dalam aksi La Liga, awal pagi tadi.

Peminat melaungkan nama pengendali kelahiran Argentina itu sebelum perlawanan dan disebalik keputusan tanpa jaringan, kedua-dua pasukan memperoleh beberapa peluang terbaik yang gagal disempurnakan.

Kedua-dua pasukan berjaya menggegar gawang lawan masing-masing pada babak pertama yang memaksa penjaga gol Sevilla, Sergio Rico dan penjaga gawang Levante, Oier Olazabal sibuk sepanjang perlawanan.

Sevilla yang dijadual bertemu Manchester United di peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara menghuni tangga kelima La Liga selepas mengumpul 29 mata daripada 15 perlawanan.

Mereka ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu, Barcelona manakala Levante di tangga ke-15 selepas mengumpul 17 mata.

Berita mengenai kanser Berizzo didedahkan selepas Sevilla mengikat Liverpool 3-3 dalam aksi menarik peringkat kumpulan Liga Juara-Juara di laman sendiri pada 21 November lalu.

Beliau menjalani pembedahan tujuh hari kemudian.

Akhbar Sepanyol, Marca melaporkan Berizzo dijangka tidak akan hadir bagi perlawanan menentang Real Sociedad, minggu depan selepas dinasihatkan untuk tidak melakukan perjalanan dengan kapal terbang sejurus pembedahan.

Pembantu Berizzo, Ernesto Marcucci dijangka akan mengendalikan Sevilla bagi perlawanan berkenaan seperti yang dilakukannya bagi empat perlawanan sebelum ini apabila ketua jurulatihnya menjalani pemulihan daripada pembedahan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2017 @ 2:25 PM