RAMIREZ meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
RAMIREZ meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
AFP

Gran Canaria: Atletico Madrid melepaskan peluang untuk naik ke puncak La Liga apabila mereka tewas mengejut 1-2 kepada Las Palmas.

Skuad kendalian Diego Simeone akan menyertai pendahulu Real Madrid dan Girona jika mencatat kemenangan, tetapi mereka dimalukan tuan rumah, yang berada di tempat kesembilan.

Las Palmas menikmati musim pertama mereka di liga teratas Sepanyol sejak 2018.

Kirian Rodriguez dan Benito Ramirez menjaringkan gol pada separuh masa kedua untuk Canary Islanders bagi memastikan pasukan kendalian Garcia Pimienta meraih kemenangan sensasi, dengan Alvaro Morata meledak gol sagu hati pelawat di lewat permainan.

Atletico meraih enam kemenangan liga berturut-turut sebelum gagal di Estadio de Gran Canaria.

"Las Palmas mempamerkan permainan yang hebat dan ia sukar untuk kami," kata penjaga gol Atletico, Jan Oblak kepada Movistar.

"Mereka tidak membenarkan kami bermain, mereka menyukarkan kami untuk mengeluarkan bola, mereka sangat bagus.

"Kami tidak sempurna (jadi) akhirnya kami tewas, setiap perlawanan dalam liga ini sukar jika keadaan tidak berjalan sebagaimana sepatutnya, anda boleh kalah menentang mana-mana pasukan."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2023 @ 11:24 AM