MARIA (tengah) bersama dua pembantu pengadil wanita ditugaskan mengadili perlawanan antara Inter Milan dan Torino di San Siro, awal pagi tadi. FOTO REUTERS
MARIA (tengah) bersama dua pembantu pengadil wanita ditugaskan mengadili perlawanan antara Inter Milan dan Torino di San Siro, awal pagi tadi. FOTO REUTERS
AFP

Milan: Pasukan pengadil dan pembantu pengadil wanita pertama ditugaskan mengadili aksi Serie A, awal pagi tadi, menjadi penanda aras terkini ketika juara baharu liga, Inter Milan menewaskan Torino 2-0 di San Siro.

Pengadil, Maria Sole Ferrieri Caputi dibantu Tiziana Trasciatti dan Francesca Di Monte dan dia dilihat sibuk sepanjang perlawanan.

Maria melayangkan kad merah kepada pemain Torino, Adrien Tameze pada minit ke-49 selepas kekasaran terhadap Henrikh Mkhitaryan selepas semakan pada monitor di tepi padang.

Dia kemudian membuat keputusan lebih mudah apabila Matteo Lovato menjatuhkan Marcus Thuram dan membolehkan Hakan Calhanoglu menyempurnakan sepakan penalti untuk gol kedua peribadinya dan Inter.

Maria, 33, ditugaskan mengadili perlawanan Serie A ke-10 selepas penampilan pertama pada 2022 ketika perlawanan antara Sassuolo dan Salernitana.

Tiga pegawai perlawanan itu pernah bertugas bersama-sama pada aksi bahagian dua pada 2022 selain pusingan 16 terakhir Coppa Italia antara Napoli dan Cremonese pada Januari 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 9:09 AM