MASTER Dol (tengah) bersama pelajarnya di sebuah studio taekwando miliknya di Taman Sri Rampai 2. FOTO SADIQ SANI
MASTER Dol (tengah) bersama pelajarnya di sebuah studio taekwando miliknya di Taman Sri Rampai 2. FOTO SADIQ SANI
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Memilik fizikal besar juga mampu menguasai kemahiran seni mempertahankan diri dan lebih mengujakan gerak jurus mereka lebih lincah daripada orang biasa.

Itu yang berjaya dibuktikan oleh Ahmadulnizam Mohammad, 39, atau lebih dikenali sebagai Master Dol.

Melihat kepada susuk badannya, pasti ramai tidak menyangka beliau mempunyai kemahiran taekwando dan menjadi tenaga pengajar profesional dalam seni mempertahankan diri itu.

"Saya berkecimpung dalam seni mempertahankan diri sejak berusia 10 tahun dan menubuhkan kelab Maya Taekwondo Martial Art pada 2011.

"Memang ramai yang tidak percaya saya aktif dan mahir dalam taekwando terutama apabila melihat keadaan fizikal saya.

"Jujurnya, memang selalu kena body shaming apatah lagi saya aktif berkongsi teknik dan aktiviti taekwando di media sosial.

"Boleh dikatakan setiap hari ada saja yang akan ketawakan, ejek lontarkan kata-kata tidak enak malah sampai bandingkan saya dengan haiwan.

"Ada juga yang kutuk sehingga babitkan keluarga saya," katanya yang melatih kira-kira 1,200 pelajar setiap tahun di sekitar Lembah Klang.

MASTER Dol menunjukkan teknik yang betul dalam seni bela diri taekwando kepada anak muridnya.
MASTER Dol menunjukkan teknik yang betul dalam seni bela diri taekwando kepada anak muridnya.

Tidak terkesan dengan body shaming, Master Dol tetap meneruskan perkongsian ilmu taekwando di media sosialnya dan memberi tumpuan mengajar di lebih 80 sekolah sekitar Kuala Lumpur.

"Alhamdulillah walaupun fizikal besar, saya sihat dan tiada penyakit serius, bahkan lebih 'fit' daripada orang biasa dan boleh melakukan jurus serta teknik yang sukar dibuat oleh kebanyakan orang.

"Bagi saya untuk berjaya kena hadapi semua perkara negatif yang terjadi dan jadikannya positif. Saya tidak pernah block netizen yang mengutuk saya sebab orang sebegitu sebenarnya tidak bahagia, jiwa mereka terganggu.

"Lagi pun seni bela diri tidak boleh disamakan dengan sukan biasa dan saya bukan mengajar 'fitness' atau menjadi ahli bina badan.

MASTER Dol menunjukkan aksi kepakarannya  dalam seni bela diri, taekwando.
MASTER Dol menunjukkan aksi kepakarannya dalam seni bela diri, taekwando.

"Walaupun berbadan besar saya berjaya mendapat gelaran master pada usia muda dan ilmu serta teknik yang ada saya turunkan kepada anak murid sehingga mereka sendiri berjaya menguasainya," katanya.

Bapa kepada seorang anak ini juga mahu video yang dikongsikan kepada umum dapat menjadi pembakar semangat kepada mereka yang berfizikal besar.

"Ada juga mereka yang fizikal besar berasa down tapi dalam taekwando kita ada teknik, disebabkan itu saya membuat video kerana saya sendiri boleh buat apatah lagi mereka yang bersaiz normal. "Walau apa pun bentuk fizikal anda, jangan takut untuk mencuba bidang yang diminati," katanya yang kini turut mengajar taekwando secara percuma kepada anak asnaf Raudhatul Nur Jannah dan Rumah Amal Kasih Bestari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 6:50 AM