HAALAND (dua dari kanan) menjaringkan gol kedua Manchester City ketika menewaskan Nottingham Forest, 2-0, awal pagi tadi. FOTO AFP
HAALAND (dua dari kanan) menjaringkan gol kedua Manchester City ketika menewaskan Nottingham Forest, 2-0, awal pagi tadi. FOTO AFP
AFP

Nottingham: Manchester City mengatasi kelab bergelut dengan zon penyingkiran, Nottingham Forest, 2-0, awal pagi tadi, untuk merapatkan jurang satu mata dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal dan meletakkan nasib pemburuan gelaran di tangan mereka.

Sebelum itu, anak buah Mikel Arteta mengatasi Tottenham yang cuba bangkit melawan 3-2, untuk berada empat mata di depan City.

Tetapi City, juara bertahan yang memburu gelaran liga keempat berturut-turut - yang tidak pernah berlaku di liga utama Inggeris - mengatasi Forest dengan jaringan Josko Gvardiol dan Erling Haaland.

"Ia perlawanan yang sukar, mereka bermain dengan berani dan penuh semangat," kata pengurus City, Pep Guardiola kepada Sky Sports.

"Mereka memiliki ramai pemain pantas berkualiti, jadi kami menjaringkan gol ketika beraksi 10 lawan 11 (apabila Neco Williams diberi rawatan di tepi padang).

"Ia kemenangan hebat kerana kami mengharungi banyak perlawanan. Kini kami boleh berehat seminggu untuk pulih."

Forest yang berjuang dalam kelompok bawahan pasti menyesali kesilapan gagal menyempurnakan beberapa peluang termasuk dua kesempatan menerusi Chris Wood.

City kekal pilihan utama untuk memenangi satu lagi gelaran liga ketika berbaki empat perlawanan - satu perlawanan lebih berbanding Arsenal.

Pasukan tempat ketiga, Liverpool pula ketinggalan empat mata di belakang City selepas beraksi lebih satu perlawanan dan dilihat tercicir daripada perebutan gelaran.

Forest yang ditolak empat mata pada bulan lalu kerana melanggar peraturan kewangan EPL pada bulan lalu, kekal satu mata di atas zon penyingkiran dengan baki tiga perlawanan.

Tetapi City, yang tampil dengan 30 perlawanan tanpa kalah dalam semua kejohanan tidak berdepan tugas mudah di City Ground.

Malah, skuad tuan rumah mempunyai peluang untuk berada di depan selepas beberapa saat perlawanan bermula, tetapi Williams gagal menyudahkan peluang dari jarak dekat.

Namun, City berada di depan pada minit ke-32 apabila Gvardiol menanduk masuk bola sepakan sudut Kevin De Bruyne.

Guardiola membuat dua pertukaran pada rehat dengan membawa masuk penjaga gol, Stefan Ortega menggantikan Ederson yang berdepan masalah bahu dan Mateo Kovacic menggantikan Jeremy Doku.

Haaland menggantikan Jack Grealish selepas sejam perlawanan dan dia menjaringkan gol penting pada minit ke-71, hasil hantaran terus De Bruyne, yang juga gol ke-21nya di EPL pada musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 6:35 AM