MESSI (tengah) melepasi halangan pertahanan Palmas. FOTO/REUTERS
MESSI (tengah) melepasi halangan pertahanan Palmas. FOTO/REUTERS
AFP

BARCELONA: Lionel Messi menyumbat dua gol apabila Barcelona mengalahkan Las Palmas 3-0 pada aksi yang dilangsungkan secara tertutup selepas La Liga Sepanyol enggan menangguhkan perlawanan itu pada hari pungutan suara meminta kemerdekaan Catalunya.

Sekurang-kurangnya 91 orang cedera apabila polis pencegah rusuhan Sepanyol menembak menggunakan peluru getah dan bertempur dengan aktivis yang mengadakan undian meminta kemerdekaan namun diharamkan kerajaan Sepanyol, semalam.

Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu menyatakan kelab itu memutuskan aksi secara tertutup di Nou Camp yang berkapasiti 90,000 penonton sebagai protes terhadap pertempuran ganas itu.

PENDUDUK Catalan membuat rusuhan berikutan mahukan kemerdekaan negara di bawah pemerintahan Sepanyol.  FOTO/AFP
PENDUDUK Catalan membuat rusuhan berikutan mahukan kemerdekaan negara di bawah pemerintahan Sepanyol. FOTO/AFP

“FC Barcelona mengutuk keras pertempuran di beberapa tempat di Catalunya hari ini dalam usaha menghalang warga daripada mengamalkan hak demokrasi,” menurut Barcelona dalam satu kenyataan.

Dalam satu kenyataan, La Liga menegaskan “tiada motif bagi perlawanan itu ditangguhkan.”

Jika Barca enggan meneruskan perlawanan itu mereka berdepan kemungkinan ditolak tiga mata daripada La Liga selain kemenangan diberikan kepada Las Palmas.

Pertahanan Barca, Gerard Pique menangis terisak-isak selepas perlawanan itu.

“Ini pengalaman profesional paling teruk pernah saya lalui dalam kehidupan,” katanya.

Di sebalik stadium ditutup, seorang penyokong berjaya menyelinap masuk ke padang selepas gol kedua Barca sebelum dihalau keluar oleh pengawal.

Ramai penyokong beratur panjang di luar Nou Camp selama beberapa jam sebelum keputusan dibuat kurang setengah jam sebelum sepak mula.

Seorang jurucakap Barca mengesahkan peminat yang membeli tiket akan dibayar semula.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 11:04 AM