KEADAAN bazar larut malam Gerbang Malam Ipoh yang hanya dilitupi bumbung separuh daripada keluasan asal kawasan itu.
KEADAAN bazar larut malam Gerbang Malam Ipoh yang hanya dilitupi bumbung separuh daripada keluasan asal kawasan itu.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Struktur bumbung yang dibina hanya separuh dan keadaan lantai berbatu sepanjang laluan di Gerbang Malam Ipoh di sini menyebabkan sebahagian peniaga serta pengunjung kurang selesa terutama ketika cuaca buruk.

Malah, lantai yang berbatu dan berlubang juga menyebabkan lokasi tumpuan pelancong itu tidak 'mesra pengguna' khususnya kepada orang kurang upaya (OKU) berkerusi roda, kanak-kanak, ibu bapa membawa kereta sorong bayi dan si pemakai kasut tumit tinggi.

Tinjauan mendapati hanya 185 meter struktur bumbung di kawasan itu dibina yang siap sepenuhnya pada April 2023 berbanding keluasan sebenar bazar itu sepanjang kira-kira 360 meter.

Peniaga topi dan pod pakai buang, Nor Aizuddin Salim, 38, berkata, ketiadaan struktur bumbung di lot sewaan ada kalanya merosakkan barang jualan, malah pengunjung juga jarang singgah khususnya apabila hujan, sekali gus menjejaskan pendapatannya.

"Sebelum ini ada yang mengatakan pembinaan bumbung akan disambung tetapi kami peniaga di sini pun tak tahu bila, katanya bergantung kepada jumlah peruntukan.

LALUAN berbatu  boleh mengundang kecederaan kepada pengunjung.
LALUAN berbatu boleh mengundang kecederaan kepada pengunjung.

"Sedangkan kami difahamkan projek bumbung ini sepatutnya sudah bermula sejak kira-kira lima tahun lalu.

"Bumbung yang siap hanya separuh dari bazar ini dalam Fasa 1, jadi kami harapkan janji untuk pembinaan Fasa 2 dapat dilakukan tahun ini juga untuk keselesaan semua.

"Memang kami peniaga sudah biasa dilanda hujan, angin kuat, malah ribut petir walaupun pendapatan kadangkala terjejas akibat barang jualan rosak.

"Namun, struktur bumbung ini dapat mengurangkan risiko barang rosak, selain menggalakkan pengunjung meneroka bazar ini sepenuhnya, dari pintu masuk sehingga hujung," katanya.

Terdapat kira-kira 120 peniaga berlesen di bazar larut malam itu. Mengenai laluan sepanjang bazar itu, Nor Aizuddin yang berniaga sejak hampir 20 tahun di situ berkata sudah kerap kelihatan situasi kanak-kanak terjatuh dan cedera akibat permukaan laluan yang kesat, tidak rata, malah seakan timbul dengan dipisahkan celahan turapan simen.

"Keadaan lantai yang nampak sekarang ini pun sebenarnya sudah dibaiki, kalau tidak sebelum ini lebih teruk (bahaya).

"Memang boleh dikatakan kerap kanak-kanak jatuh, malah pernah juga warga emas terjatuh sampai luka hampir tembus di bahagian lututnya," katanya.

Bagi peniaga beg, Ahmad Irwan Othman, 44, pula berkata, kerja menaik taraf infrastruktur terutama bumbung amat penting memandangkan bazar larut malam itu bukan sahaja terkenal dalam kalangan pengunjung tempatan, malah menjadi destinasi wajib singgah pelancong luar negara.

Ahmad Irwan yang juga Pengerusi Persatuan Kebajikan Usahawan Gerbang Malam Ipoh berkata, biarpun lot sewaannya berada di kawasan berbumbung namun beliau mengakui keadaan jalan bazar itu seharusnya ditambah baik bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengunjung.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya kerap menerima keluhan dan rungutan daripada peniaga terbabit yang memaklumkan mereka tetap membayar kadar sewa sama dengan lot kedai berbumbung.

"Sebagai pengerusi saya tak boleh menyalahkan peniaga kerana itu hak mereka untuk menuntut keadilan.

"Lokasi perniagaan Gerbang Malam ini menjadi antara tumpuan pengunjung tempatan dan luar ke bandar ini sejak 20 tahun lalu.

"Jadi, kami harap kemudahan di Gerbang Malam Ipoh ini lebih baik dan memberi keselesaan kepada pengunjung sekali gus menyumbang kepada ekonomi setempat," katanya.

Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 6:30 AM