Park Soo-jin (kiri) dan Bae Yong-joon (kanan) mula rapat Februari lalu.
Park Soo-jin (kiri) dan Bae Yong-joon (kanan) mula rapat Februari lalu.

Seoul: Pelakon Korea Selatan Bae Yong-joon yang terkenal melalui siri televisyen ‘Winter Sonata’ berkahwin dengan pelakon, penyanyi dan personaliti televisyen Park Soo-jin dalam majlis tertutup di Hotel Sheraton Grande Walkerhill, Seoul, kira-kira jam 7 petang tadi.

Majlis itu hanya dihadiri rakan rapat mereka serta ahli keluarga. Walaupun hujan ratusan peminat berkumpul di luar hotel berkenaan, yang menjadi lokasi penggambaran drama lakonan pelakon itu, ‘Hotelier’, dengan harapan dapat melihat pelakon berkenaan dan pasangannya.

Dalam Instagram yang disiarkan sebelum majlis perkahwinan, Bae berkata dia ‘gementar dan penuh emosi’ menjelang hari perkahwinannya serta mengucapkan terima kasih kepada peminat.

Menurut agensi pengurusan pelakon berusia 42 tahun itu, Bae mula berkenalan dengan Park yang 13 tahun lebih muda, Februari lalu.

Selepas mendapati mereka serasi dalam banyak aspek serta personaliti Park yang menarik, dia mengambil keputusan untuk mengahwininya.

Drama terakhir lakonan Bae ialah ‘The Legend’ pada 2007 dan dia juga pemegang saham utama agensi pengurusan bakat Korea, KeyEast Entertainment. Dia dilaporkan memiliki harta berjumlah 107 bilion won (RM350 juta). - Channel News Asia

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2015 @ 8:50 PM